- Home
- Panduan kami
- Merancang Belanjawan
- Merancang belanjawan
Langkah 3: Rancang belanjawan anda
Setelah menyiapkan langkah pertama dan kedua, anda kini boleh mula merancang bajet anda! Jom!
Selepas mengenal pasti keperluan dan kehendak jangka pendek dan jangka panjang anda, rujuk semula pada lembaran kerja anda dan tentukan perbelanjaan mana yang perlu dan tidak diperlukan. Beberapa soalan yang boleh digunakan untuk membantu anda buat keputusan termasuk:
- Jika saya tidak membeli benda ini, adakah ia akan memberi kesan besar pada hidup saya, ataupun hanya akan mengubah gaya hidup saya?
- Adakah terdapat alternatif yang lebih murah untuk menggantikan perbelanjaan ini?
- Adakah saya boleh memperuntukkan sejumlah wang untuk item ini setiap bulan?
- Apa yang perlu saya korbankan jika ingin membuat perbelanjaan ini?
- Adakah anda akan kekal dengan belanjawan baru anda?
Selepas membuat penimbangan, anda mungkin akan membuat keputusan-keputusan seperti:
- Anda memutuskan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk pergi bekerja, jadi anda boleh potong kos petrol.
- Anda memutuskan untuk menyelesaikan semua hutang kad kredit anda, lalu memberi peruntukkan yang lebih tinggi dalam lembaran kerja anda.
- Anda memutuskan untuk mempertimbangkan semula langganan hiburan anda (cth. Netflix atau Spotify), dan mungkin akan tukar kepada pelan keluarga untuk kos yang lebih rendah.
Ingat, faktorkan perkara-perkara ini dalam belanjawan anda juga!
Anda perlu memperuntukkan wang yang cukup untuk keperluan harian anda, tetapi terdapat juga beberapa perkara ekstra yang harus diutamakan ketika merancang belanjawan anda. Beberapa keutamaan ini penting untuk menjamin situasi kewangan anda, termasuklah:
-
Utamakan membayar hutang kad kredit dahulu
Jika anda mempunyai hutang kad kredit yang tertunggak, langsaikannya sebelum anda mula menabung atau membuat sebarang bayaran bil tambahan. Kadar faedah kad kredit amat tinggi, dan anda mungkin terpaksa bayar 1/3 hingga 3 kali ganda bayaran asal jika anda membiarkannya untuk beberapa tahun. Oleh sebab itu, langsaikan hutang ini secepat mungkin!
-
Selesaikan sebarang hutang atau pinjaman lain yang juga tertunggak
Jika anda membuat bayaran secara tetap untuk semua komitmen yang lain, anda akan dapat mengekalkan skor kredit yang baik, dan ini boleh membantu mengurangkan kos faedah anda. Langsaikan semua pinjaman sedia ada ini secara beransuran supaya anda akan ada duit lebih untuk disimpan setiap bulan.
-
Cuba pastikan simpanan kecemasan anda cukup sekurang-kurangnya 6 bulan gaji
Kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa. Anda boleh kehilangan kerja, atau jatuh sakit dan tidak dapat bekerja. Ataupun, rumah atau kereta anda juga mungkin mengalami kerosakan secara tiba-tiba.
Cara terbaik untuk mengumpul satu dana kecemasan ialah dengan membuka satu akaun bank berasingan dan memindahkan sebahagian daripada gaji bulanan anda ke dalam akaun tersebut secara automatik sebagai simpanan kecemasan anda. Anda tak perlu letakkan jumlah yang banyak di sini, tapi anda patut asingkan akaun ini daripada wang simpanan anda yang lain, dan jangan sentuh duit ini!
Dengan adanya dana kecemasan yang mencukupi, anda akan rasa lebih selamat dan lega.
-
Menyimpanlah sebanyak yang mungkin untuk persaraan anda and pastikan anda melabur dalam produk yang selamat dan kalis inflasi
Anda disarankan membuat caruman sukarela ke dalam akaun KWSP jika anda sudah mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan kecemasan dan keperluan jangka pendek yang lain. Kenapa? Sebab KWSP mempunyai jaminan pulangan minimum, melabur dalam pelbagai dana, dan biasanya memberi pulangan yang memuaskan agar inflasi tidak akan memberi impak yang besar kepada wang anda dalam jangka masa panjang.
Jika anda ingin cuba produk pelaburan lain, pastikan berurusan dengan orang yang boleh dipercayai dan sentiasa memahami risiko yang dihadapi. Anda juga boleh merujuk kepada panduan pelaburan kami di sini.
-
Peruntukkan 10% daripada gaji anda untuk kehendak dan kemahuan anda
Tetapkan satu had maksimum untuk perbelanjaan kemahuan anda. Dengan cara ini, anda boleh berbelanja untuk keseronokan diri tanpa melampaui batas.
-
Pastikan anda ada insurans nyawa jika anda mempunyai tanggungan
Insurans nyawa boleh dikategorikan sebagai keperluan yang kurang penting jika anda tidak mempunyai tanggungan yang bergantung pada pendapatan anda untuk terus hidup. Jika ada, ia menjadi amat penting. Sekiranya anda mengalami sebarang malapetaka, bayaran daripada polisi insurans akan membantu mereka menampung keperluan apabila anda tiada.




