- Home
- Panduan kami
- Merancang Belanjawan
- Panduan Multiply: Kekal Selamat & Lindungi Wang Anda Dari Scammer
Panduan Multiply: Kekal Selamat & Lindungi Wang Anda Dari Scammer

Kes-kes penipuan kewangan (scam) kerap dilaporkan dalam berita di Malaysia dan kelihatan seperti takkan berakhir.
Menurut Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), rakyat Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM 203.33 juta kepada penipu kewangan (scammer) antara Oktober 2022 dan Mei 2024, dan ini menunjukkan bahawa jenayah scam masih menjadi masalah besar di negara ini.
Pihak berkuasa giat memerangi isu ini dan telah menahan lebih 50,000 scammer sejak 2018. Pada masa yang sama, undang-undang sedia ada juga telah diperketatkan, selain undang-undang baru diwujudkan untuk melindungi rakyat Malaysia.
Sementara itu, bank dan institusi kewangan lain juga meningkatkan perlindungan untuk pelanggan dengan memperkenalkan langkah kawalan tambahan untuk menjadikan transaksi lebih selamat. Mereka juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran pelanggan mengenai scam dengan perkongsian maklumat di laman web mereka dan makluman lain yang dihantar terus kepada pelanggan.
Namun, tanggungjawab memerangi scammer tidak hanya terletak kepada pihak berkuasa dan institusi kewangan. Individu seperti anda juga mempunyai kuasa untuk melindungi maklumat peribadi dan kewangan anda daripada penipu yang berniat mencuri wang hasil titik peluh anda.
Panduan komprehensif ini akan membantu anda melindungi diri dari ancaman scammer. Bahagian 1 hingga 5 akan kongsi cara scammer beroperasi dan scam yang biasa dijumpai di Malaysia. Bahagian selebihnya pula akan mengajar cara untuk melindungi diri dari scammers dan siapa yang perlu dihubungi jika anda telah menjadi sasaran.





