4 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Pengeluaran Simpanan KWSP Untuk Melabur Dalam Unit Amanah

4 Perkara Penting Sebelum Guna Simpanan KWSP Untuk Melabur Dalam Unit Trust
Anda tentu faham bahawa pelaburan sangat berguna untuk membantu memgembangkan simpanan jangka panjang anda bagi tujuan persaraan. Tetapi bagaimana kalau anda tak ada simpanan yang cukup untuk melabur?
Kalau anda bercadang untuk menggunakan simpanan KWSP untuk melabur dalam unit trust, penting untuk faham cara skim ini berfungsi, risiko yang terlibat dan apa yang anda mungkin untung atau rugi. Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA) membenarkan ahli mengeluarkan sebahagian simpanan daripada Akaun 1 untuk melabur dalam unit trust yang diluluskan oleh KWSP. Tapi keputusan ini tak patut dibuat secara terburu-buru.
Sebab bila anda guna skim ini, anda kurangkan simpanan persaraan anda dalam KWSP. Jadi fikir masak-masak sebelum bertindak. Berikut adalah 4 perkara penting yang perlu anda tahu sebelum membuat keputusan:
1. Anda akan dapat pulangan yang lebih baik daripada KWSP atau unit amanah?
KWSP memberi dividen minimum 2.5% setahun, tetapi biasanya lebih tinggi — contohnya 5.5% untuk tahun 2023. Sesetengah unit trust di bawah SPA memberikan pulangan lebih tinggi berbanding KWSP — tapi ada juga yang beri pulangan lebih rendah. Pulangan tahunan (annualised return) ialah pulangan tahunan purata untuk tempoh tertentu, termasuk faedah kompaun.
Dana unit amanah yang ditawarkan melalui SPA mempunyai tahap prestasi yang berbeza-beza berbanding dengan KWSP. Ada dana yang telah mencapai pulangan yang lebih tinggi, dan ada yang telah mencapai pulangan yang lebih rendah berbanding dengan KWSP.
Sebelum melabur, bandingkan pulangan sejarah untuk tempoh berbeza (1, 3, 5 atau 10 tahun) bagi dana unit trust yang anda pertimbangkan, dan lihat sama ada ia sesuai dengan matlamat simpanan persaraan anda. matlamat simpanan persaraan anda.. Perlu diingat bahawa prestasi lepas tidak menjamin prestasi masa depan, dan setiap pelaburan sentiasa mempunyai risiko kerugian.
2. Duit anda akan dilaburkan di mana?
Jika anda melabur melalui Skim Pelaburan Ahli (SPA) KWSP, anda boleh memilih untuk melabur dalam senarai dana unit amanah yang diluluskan oleh KWSP. Dana-dana ini berbeza dari segi tahap risiko dan fokus pelaburan — daripada bon dan aset campuran hingga ekuiti dan portfolio patuh syariah.
Ini memberi anda keupayaan untuk memilih dana yang sepadan dengan matlamat pelaburan peribadi dan tahap toleransi risiko anda. Anda juga boleh melabur secara langsung melalui platform i-Invest KWSP dalam i-Akaun, yang menawarkan cara yang lebih telus dan kos efektif untuk mengurus pelaburan anda.
Jika anda membuat keputusan untuk melabur dalam talian melalui SPA KWSP, anda boleh pilih antara mana-mana dana unit amanah yang telah disenaraipendekkan oleh KWSP berdasarkan prestasi 3 tahun mereka sebelum ini. Anda boleh semak prestasi mereka di sini. Jadi, anda ada sedikit pilihan tentang di mana wang anda akan dilaburkan.
3. Ada kemungkinan anda rugi?
Salah satu pertukaran terbesar ialah kehilangan jaminan modal KWSP. Sebaik sahaja anda mengeluarkan simpanan anda untuk melabur dalam unit amanah, wang anda tidak lagi dilindungi sekiranya pelaburan tersebut menunjukkan prestasi yang lemah.
Dengan KWSP, caruman dan dividen anda dijamin oleh kerajaan. Dengan unit amanah, modal anda terdedah kepada risiko pasaran. Jika dana berprestasi baik, anda mungkin memperoleh lebih daripada kadar dividen KWSP. Jika prestasinya buruk, anda mungkin akan kehilangan sebahagian daripada simpanan anda.
4. Apakah yuran yang perlu anda bayar?
Penting untuk anda tahu tentang fi yang perlu dibayar untuk membuat pelaburan, kerana fi akan memakan sebahagian daripada pulangan anda. Disebabkan ini, pelaburan anda akan mengambil masa yang lebih panjang untuk berkembang. Ini juga boleh memberi kesan kepada jumlah simpanan yang akan dapat dikumpul untuk persaraan anda.
Jika anda melabur melalui SPA KWSP, fi jualan yang perlu anda bayar adalah seperti berikut:
- Sifar hingga 0.5% jika anda melabur dalam talian melalui portal i-Akaun KWSP
- Sehingga 3% melalui ejen/kaunter FMI.
Anda juga mungkin perlu membayar fi lain seperti fi pengurusan tahunan, fi pindahan dan fi penebusan.
Fi untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA KWSP lebih rendah berbanding dengan melabur dalam unit amanah melalui ejen jualan atau bank. Tapi, jika anda menyimpan wang anda dalam KWSP, anda tidak perlu membayar apa-apa fi.
Jadi, selain daripada hilang jaminan perlindungan kerajaan apabila wang anda dikeluarkan daripada simpanan KWSP untuk melabur dalam unit amanah (seperti yang dibincangkan dalam poin ke-3), fi yang anda perlu bayar untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA juga akan mengganggu peluang anda untuk mengembangkan simpanan persaraan anda.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana fi boleh memberi kesan terhadap pulangan unit amanah anda, sila baca panduan kami tentang unit amanah.
Patut ke anda keluarkan simpanan KWSP anda untuk melabur melalui SPA?
Jika anda sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP anda dan melaburkannya dalam unit amanah melalui SPA, ingat perkara berikut:
- Dana unit amanah melalui SPA: Anda mungkin boleh menikmati pulangan yang lebih tinggi berbanding KWSP, tetapi pelaburan anda lebih berisiko dan anda juga perlu membayar fi tertentu. Namun, anda ada sedikit pilihan tentang di mana wang simpanan anda dilaburkan.
- Menyimpan dalam KWSP: Anda boleh jangkakan untuk mendapat pulangan yang stabil dan wang anda lebih selamat kerana ia dijamin oleh kerajaan. Anda tidak perlu membayar apa-apa fi. Cuma anda tidak boleh pilih di mana wang anda akan dilaburkan.
Sekarang anda sudah tahu apa yang perlu dipertimbangkan jika anda mahu mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk melabur dalam unit amanah. Jadi, anda boleh buat pilihan terbaik untuk mengembangkan wang anda bagi tujuan persaraan.
Apa yang anda boleh lakukan seterusnya?
Jika anda berminat untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA, anda boleh ikuti langkah-langkah di bawah:
- Pertama, semak jika anda layak.
- Pilih dana unit amanah yang anda mahu daripada senarai dana unit amanah yang terpilih di bawah SPA.
- Anda boleh melabur dalam talian melalui i-Akaun KWSP di sini. Anda juga boleh melabur melalui ejen jualan atau berurusan di kaunter syarikat yang menawarkan dana unit amanah yang menjadi pilihan anda. Untuk pelaburan melalui ejen jualan atau melalui kaunter, anda perlu isi Borang KWSP 9N (AHL).
Jika anda mahu dapatkan maklumat lanjut tentang pengeluaran wang simpanan KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA, anda boleh buat pertanyaan secara dalam talian atau hubungi KWSP di 03-8922 6000.
Soalan Lazim (FAQs): Pengeluaran Simpanan KWSP untuk Pelaburan Unit Amanah
- Berapa banyak simpanan KWSP yang boleh saya laburkan dalam unit amanah?
Anda boleh melabur sehingga 30% daripada jumlah lebihan Simpanan Asas dalam Akaun 1. Jumlah Simpanan Asas bergantung pada umur anda. - Bolehkah saya pilih mana-mana dana unit amanah yang saya mahu?
Tidak. Anda hanya boleh melabur dalam dana unit amanah yang diluluskan oleh KWSP di bawah Skim Pelaburan Ahli. - Adakah i-Invest sama dengan menggunakan ejen unit amanah?
i-Invest ialah platform dalam talian dalam i-Akaun yang membolehkan pelaburan secara langsung dengan yuran lebih rendah. Ejen mungkin mengenakan caj jualan awal yang lebih tinggi. - Bolehkah saya rugi jika prestasi dana buruk?
Ya. Setelah dikeluarkan daripada KWSP, simpanan anda tidak lagi dijamin. Prestasi dana yang lemah boleh menyebabkan kerugian. - Bolehkah saya tukar antara dana unit amanah kemudian?
Ya, tetapi penukaran mungkin dikenakan yuran bergantung kepada penyedia dana. Sentiasa semak terma sebelum menukar.
Kesimpulan
Menggunakan simpanan KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah boleh membantu mengembangkan dana persaraan anda — tetapi ia tidak bebas risiko. Penting untuk menilai potensi pulangan berbanding kehilangan perlindungan modal KWSP dan kos yang terlibat.
Jika anda tidak pasti sama ada ini langkah yang betul, pertimbangkan untuk berbincang dengan penasihat kewangan berlesen atau hubungi Perkhidmatan Penasihat Persaraan KWSP.
Ingat, seperti semua jenis pelaburan lain, pelaburan dalam unit amanah memang sentiasa ada risiko! Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang pelaburan dalam unit amanah, baca panduan kami tentang unit amanah. Untuk lebih memahami manfaat menyimpan dalam KWSP, baca panduan kami tentang KWSP. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengeluaran wang simpanan KWSP, tontonlah video kami.




