- Home
- Panduan kami
- Persaraan
- Merancang persaraan anda
Kenapa perancangan awal untuk persaraan itu penting?
Merancang persaraan adalah penting untuk mengelakkan anda bersara tanpamempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan harian anda. Lagipun, anda mesti mahu berseronok juga kan, jadi anda perlu menyimpan untuk tujuan itu.
Jangan lupa bahawa kos untuk mengekalkan gaya hidup anda juga akan meningkat disebabkan oleh inflasi, jadi wang simpanan yang anda asingkan itu perlu mengambil kira faktor inflasi juga.
Inilah sebabnya kenapa menyimpan wang seawal mungkin untuk tujuan persaraan itu sangat penting, iaitu supaya anda dapat menikmati keajaiban pengkompaunan. Walaupun pulangan sebanyak 5% setahun mungkin bunyinya seperti tak begitu banyak, kalau anda mulakan dengan RM1,000 dengan faedah pengkompaunan tahunan sebanyak 5%, dalam masa 30 tahun wang itu akan menjadi lebih daripada RM4,000!
Ini kerana faedah yang anda dapat daripada simpanan awal anda akan menambahkan jumlah simpanan anda setiap tahun, jadi simpanan anda akan meningkat secara automatik dan anda akan dapat mencapai sasaran simpanan anda dengan lebih cepat.
Dengan pertambahan simpanan yang lebih cepat berbanding kadar inflasi, ini bermakna wang anda tak akan kehilangan nilainya dengan peredaran masa seiring dengan peningkatan kos.
Jadi macam mana nak rancang persaraan anda?
Tiada pelan persaraan ajaib yang sesuai dengan kehendak semua orang. Ada orang ingin menghabiskan waktu persaraan mereka dengan berehat dan meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga. Ada pula yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih mahal, seperti bermain golf atau fotografi. Jadi, perancangan persaraan tak akan sama untuk setiap orang.




