Jaga-jaga! Scammer Guna Sumbangan Tunai Penerima Rahmah (STR) Untuk Menipu —Apa yang Anda Wajib Tahu!

Baru-baru ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam kes penipuan pancingan data (phishing scam) yang disebar melalui Telegram, dengan scammer mendakwa mereka menawarkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang boleh menyebabkan anda kehilangan akses kepada akaun Telegram anda. Hal ini telah menjadi sangat serius sehinggakan pihak kerajaan telah mengeluarkan kenyataan awam mengenainya.
Bagaimana Scammer Menipu Anda
Taktik 1: Penipuan Phishing (Pancingan Data)

Anda mungkin menerima pautan yang mencurigakan ini daripada pihak yang tak dikenali atau kenalan anda yang mengajak anda untuk klik dan daftar. Menurut Majlis Keselamatan Negara, scammer kerap menggunakan pautan palsu yang membawa kepada tapak web pancingan data yang direka untuk mengumpul butiran peribadi anda, seperti nama dan nombor telefon.
Ini cara scammer melakukannya:
1. Penyebaran Link Yang Meragukan: Anda mungkin menerima pautan daripada pihak tak dikenali atau kenalan sendiri, yang mengajak anda klik dan mendaftar untuk mendapatkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
2. Laman Web Pancingan Data: Pautan ini akan membawa kepada laman web palsu yang direka untuk mengumpul maklumat peribadi, seperti nama dan nombor telefon anda.
3. Permintaan Untuk Maklumat Peribadi: Sebaik sahaja anda masukkan butiran anda, anda akan diminta untuk memasukkan kod keselamatan yang dihantar melalui Telegram anda.
4. Pengambilalihan Akaun: Selepas anda menyerahkan kod ini, scammer akan dapat mengawal akaun anda, membenarkan mereka menyamar sebagai anda dan menyasarkan kenalan anda.
5. Penyamaran dan Permintaan Kewangan: Scammer kemudian menyamar sebagai anda untuk meminta wang daripada kenalan anda, kerana kenalan fikir ia adalah permintaan dari anda yang sebenar.
6. Menyebarkan Perisian Hasad: Selain itu, scammer juga mungkin menghantar aplikasi perisian hasad (malware) yang apabila dimuat turun, akan menjejaskan peranti kenalan anda, seterusnya menambahkan lagi jumlah mangsa mereka.
Taktik 2: Penipuan Panggilan Telefon (Macau Scam)

Sesetengah scammer juga menggunakan taktik Scam Macau (penipuan panggilan telefon), dengan berpura-pura menjadi wakil kerajaan dan meminta anda membuat pembayaran yang mencurigakan.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), scammer menggunakan talian rasmi Sumbangan Tunai Rahmah untuk memperdaya dan mendapatkan sejumlah besar wang daripada orang ramai.
Orang ramai yang menerima panggilan sedemikian dinasihatkan membuat laporan polis. Selain itu, kementerian juga menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dibenarkan menggunakan talian rasmi kerajaan dan pegawai Kementerian Kewangan juga dilarang mengutip wang daripada orang ramai atas sebarang sebab.
Kesan Scam STR
Memandangkan risiko berkaitan dengan penipuan ini berpotensi untuk menjadi lebih teruk, adalah penting untuk memahami kesan kepada mangsa yang terpedaya dengan penipuan ini.
- Kehilangan akaun Telegram anda: Jika scammer mengambil alih akaun anda, anda akan kehilangan akses kepada semua perbualan dan maklumat penting.
- Penipuan kewangan: Scammer boleh menyamar sebagai anda dan meminta wang dari kenalan anda, mengakibatkan kerugian kewangan untuk rakan dan ahli keluarga anda.
- Penyebaran malware: Scammer boleh menghantar perisian hasad (malware) kepada kenalan anda, untuk mencuri data atau merosakkan peranti mereka.
- Kecurian identiti: Maklumat peribadi yang diperolehi oleh scammer boleh digunakan untuk aktiviti penipuan lain, seperti membuka akaun bank atau memohon pinjaman atas nama anda.
- Kesan emosi: Menjadi mangsa scammer boleh menyebabkan tekanan emosi dan kebimbangan yang ketara, serta mengurangkan kepercayaan dalam komunikasi digital.
Ingat, jangan sekali-kali berkongsi kata laluan anda, one time password (OTP) atau nombor keselamatan untuk akaun bank atau media sosial anda dengan sesiapa sahaja. Sentiasa berbincang dengan ahli keluarga atau rakan sebelum berkongsi sebarang maklumat peribadi.
Apabila ragu-ragu, hubungi talian 997 NSRC.
Ketahui lebih lanjut mengenai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada ditipu menggunakan panduan kami di sini.
3 Petua Untuk Mengelakkan Penipuan STR
Berikut ialah beberapa petua penting untuk melindungi diri anda:
- Jangan klik pada pautan yang mencurigakan: Elakkan daripada mengklik pautan yang diterima melalui WhatsApp, Telegram atau SMS. Sentiasa sahkan kesahihan tapak dengan menyemak URL: https://bantuantunai.hasil.gov.my.
- Berhati-hati dengan panggilan: Pihak Kementerian Kewangan memberi amaran terhadap panggilan yang mendakwa daripada talian hotline STR yang meminta bayaran besar. Tiada pihak ketiga dibenarkan untuk menggunakan nombor telefon rasmi MOF, dan pegawai MOF tidak akan sekali-kali mengutip bayaran daripada orang ramai.
- Hubungi talian hotline rasmi untuk maklumat: Jika anda mempunyai sebarang keraguan atau memerlukan maklumat lanjut, hubungi talian rasmi STR/SARa di 03-8882 4565/4566.
Jika anda rasa anda ditipu, ambil tindakan segera seperti melaporkan kepada entiti yang berkaitan dan simpan rekod terperinci mengenai insiden ini. Ikuti langkah penting kami yang digariskan dalam artikel ini.
Pandangan Kami Mengenai STR 2024: Kekal Cakna, Kekal Selamat!
Sumbangan Tunai Rahmah 2024 bertujuan membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia. Sama ada anda layak untuk program ini atau cuba memahami keperluan, sentiasa peka dengan perkembangan terkini dan bersifat proaktif adalah penting.
Tag:scam, STR, sumbangan tunai rahmah




