Kami Hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan, Dan Ini Cara Mereka Bantu Anda Jika Di Scam

Rakyat Malaysia telah kerugian sebanyak RM203.33 juta kepada scammer setakat Mei 2024. Ini termasuklah kerugian yang berpunca scam pancingan data, scam panggilan palsu, dan scam perisian hasad (malware). Scammer sentiasa menggunakan taktik baru untuk menipu, lebih-lebih lagi dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI), yang turut digunakan untuk memerangkap mangsa.
Disebabkan itu, talian kecemasan 997, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah ditubuhkan untuk membanteras masalah ini dan membantu mangsa scam. Tapi, apa fungsi NSRC dan bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah ini? Apa proses yang akan anda lalui apabila melaporkan jenayah scam?
Kami berhubung terus dengan NSRC dan bercakap dengan Pegawai #11 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranan mereka, dan inilah benda baru yang kami belajar!
NSRC: Pengenalan Ringkas

NSRC adalah talian kecemasan yang dikhususkan untuk membantu mangsa scam dengan pantas. Fokus utamanya adalah untuk melaporkan insiden scam kewangan dalam talian. Ia membantu mangsa yang diperdaya untuk memindahkan dana mereka melalui perkhidmatan kewangan dalam talian, dan yang kehilangan wang dari akaun bank kerana telah dipindah keluar tanpa pengetahuan mereka. Misalnya, Macau scam, scam pancingan data, scam perisian hasad, scam bungkusan, dan scam cinta.
Apa Pegawai NSRC #11 cakap: NSRC ialah talian kecemasan, bukan talian untuk membuat aduan. Jika ada sebarang masalah perbankan, misalnya akaun yang disekat, hubungi bank anda untuk dapatkan bantuan.
Fakta ringkas lain tentang NSRC termasuklah:
- Anda juga boleh menghubungi NSRC jika anda menerima panggilan atau teks yang mencurigakan, dan terutamanya untuk mendapatkan kepastian.
- Ia menggunakan sumber dan kepakaran dari beberapa pihak untuk menyelaras respons yang pantas dan berkesan terhadap scam kewangan dalam talian.
- Ia merupakan usaha sama antara pelbagai pihak, termasuklah:
- Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC)
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Bank Negara Malaysia (BNM)
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
- Industri kewangan dan telekomunikasi
Seterusnya, kami akan kongsikan perkara yang perlu anda lakukan setelah anda di scam dan memahami penglibatan NSRC dalam proses tersebut.
“Saya dah kena scam!”: Ini apa yang perlu anda buat, menurut NSRC

Jebaik sahaja sedar yang anda telah di scam, anda perlu bertindak pantas.
Segera hubungi NSRC di 997 (8 pagi - 8 malam setiap hari, termasuk cuti umum), sebaik-baiknya dalam tempoh 24 jam selepas insiden. Ini kerana 997 adalah talian yang disediakan untuk memberi bantuan dengan segera. Ia akan mengenal jenis scam yang terlibat secepat mungkin, menjalankan siasatan dan mengesan dana anda yang telah ditipu.
Maklumat penting yang perlu dilaporkan dalam panggilan ini termasuklah maklumat peribadi anda, butiran scammer, kronologi scam, butiran transaksi (seperti nombor akaun dan jumlah yang terlibat), serta alamat laman web yang dikongsi oleh scammer.
Apa Pegawai NSRC #11 cakap: Jika bertindak dengan cepat, NSRC mungkin akan dapat mengesan dana anda yang telah dipindahkan ke akaun bank penipu. Kemudian, mereka boleh membekukan akaun tersebut buat sementara waktu. Ini membolehkan mereka bekerjasama dengan pihak bank untuk mendapatkan semula wang anda (namun, tiada jaminan).
Seterusnya, hubungi bank masing-masing melalui talian scam 24/7 mereka untuk membuat aduan. Ini untuk memastikan mereka mempunyai rekod tentang insiden dan boleh membantu anda sekiranya anda memerlukan bantuan lain. Selain itu, anda juga boleh menggunakan fungsi "Kill Switch" dalam app perbankan untuk membekukan akaun anda dengan serta-merta.

Apa Pegawai NSRC #11 cakap: Mangsa biasanya dinasihatkan untuk melaporkan insiden scam sama ada kepada pihak NSRC atau bank mereka sahaja kerana kedua-dua pihak ini akan bekerjasama untuk menjalankan siasatan. Sebenarnya, lebih baik sekiranya anda menghubungi kedua-dua pihak kerana NSRC akan fokus kepada menjejaki akaun penipu, manakala pihak bank boleh melindungi anda daripada kerugian kewangan yang lebih besar.
Akhir sekali, buat laporan dengan polis. Ini wajib, dan mesti dilakukan dalam masa 24 jam. Tanpa laporan polis yang rasmi, tindakan susulan tidak akan dapat dilakukan.
Selepas membuat laporan, seorang pegawai akan ditugaskan untuk membantu anda untuk sebarang tindakan susulan (jika perlu). Pegawai ini juga boleh menghubungi anda untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi membantu siasatan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat susulan daripada kes dengan pegawai tersebut.
Input khas pegawai NSRC #11: Pihak NSRC, polis, dan bank tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi anda apabila mereka membuat siasatan susulan dengan anda, misalnya nama pengguna, kata laluan, PIN, atau TAC mahupun OTP.
Oleh itu, jangan diperdaya oleh scammer yang menyamar sebagai pegawai NSRC dan meminta anda untuk memindahkan wang kepada mereka. Scam sedemikian telah menyebabkan kerugian hampir RM7 juta antara Januari hingga pertengahan Mei 2024, dengan 53 kertas siasatan telah dibuka.
Gunakanlah infografik ini untuk lebih memahami proses membuat laporan jika anda telah di scam:

Sentiasa waspada untuk melindungi duit anda!
Walaupun NSRC sentiasa bersedia untuk membantu apabila anda terkena scam, anda juga harus memikul tanggungjawab untuk melindungi diri sendiri. Pastikan anda mengamalkan langkah asas untuk melindungi maklumat diri dan perbankan anda dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi anda (misalnya kata laluan) kepada sesiapa, termasuk ahli keluarga anda. Selain itu, jangan sekali-kali klik pautan yang mencurigakan yang dihantar kepada anda.
Semak juga panduan komprehensif kami untuk tips lain agar kekal selamat daripada scam.




