Nak Skip Uni Untuk Jadi The Next Khairul Aming? Baca Ni

Anda mesti pernah dengar tentang Khairul Aming, kan? Seorang pempengaruh (influencer) yang sangat popular di Malaysia hari ini yang terkenal dengan video masakan.
Terkenal dengan tagline “Hi, what’s up guys!”, Khairul Aming memperoleh jutaan pengikut di media sosial melalui video-video perkongsian resipi masakan. Populariti tersebut membolehkan produk jualannya laku keras dan menjadikannya seorang jutawan, selain mencapai kejayaan luar biasa lain seperti memulakan siri masakan baharu yang menyaksikannya mengembara ke seluruh dunia.
Kejayaan beliau membuatkan ramai belia yang mahu mengikuti jejak langkahnya menjadi pencipta kandungan (content creator). Ini membuatkan menimbulkan kerisauan apabila semakin ramai belia yang mahu mengabaikan pelajaran untuk menjadi seorang influencer. Mereka juga cenderung untuk memilih kerja gig dan menjana pendapatan pendapatan sebaik sahaja tamat SPM.
Adakah ini bermakna pendidikan di peringkat universiti tidak lagi relevan untuk membina kerjaya yang mampan dan memberikan pendapatan tinggi? Adakah pandangan ini berasas? Baca pendedahan kami!
Kenapa Ramai Pilih Jadi Influencer/Gig Worker Berbanding Sambung Belajar?
Seperti yang kami kongsikan, semakin ramai belia yang tertarik dengan karier penghasilan konten dan pekerjaan gig kerana wang yang diperolehi lebih pantas tanpa perlu belajar di peringkat universiti, selain faktor fleksibiliti dalam bekerja.
Sebagai contoh, seorang penunggang GrabFood boleh menerima pendapatan bermula RM2,000 sebulan sebaik sahaja mula bekerja. Seorang influencer pula boleh mendapat antara beberapa ratus hingga beberapa ribu ringgit melalui satu kandungan media sosial.

Sebaliknya, laluan kerjaya tradisional - yang biasanya melibatkan pengajian tinggi - memerlukan pelaburan masa dan wang yang banyak sebelum anda mula bekerja. Ia boleh mengambil masa hingga enam tahun untuk memperoleh ijazah, selain faktor yuran pengajian yang mencecah puluhan ribu.
Lebih penting, gaji untuk graduan baru juga agak rendah. Lebih daripada 65% pemegang ijazah mendapat gaji serendah RM2,000 sewaktu mula bekerja. Disebabkan faktor-faktor ini, ramai yang rasa tidak berbaloi untuk meneruskan pendidikan mereka dan memilih kerjaya sebagai pencipta kandungan dan pekerja gig.
Jadi, Tak Perlulah Sambung Belajar, Kan?
Walaupun kerja gig dan gaya hidup influencer lebih menarik untuk jangka masa yang pendek, mereka yang menyambung pelajaran boleh menikmati banyak kelebihan untuk jangka masa panjang seperti:
1) Dapat gaji yang lebih tinggi dalam jangka panjang
Sesetengah syarikat mungkin akan menawarkan pekerjaan biarpun anda tidak mempunyai sijil diploma atau ijazah, namun mempunyai kelayakan profesional dan formal akan membolehkan anda mendapat gaji permulaan yang lebih tinggi. Gaji anda juga akan meningkat seiring dengan perjalanan kerjaya anda - berbanding dengan pendapatan pekerja gig yang akan mendatar.

2) Lebih senang untuk naik pangkat
Semua tahu yang dengan jawatan yang lebih tinggi, gaji anda juga akan menjadi lebih tinggi. Tetapi sesetengah majikan mungkin akan menangguhkan kenaikan pangkat anda jika anda tidak mempunyai ijazah atau kelayakan profesional yang berkaitan.

3) Lebih banyak pilihan pekerjaan untuk menambah pendapatan anda
Selain kemahiran teknikal, pendidikan boleh membantu anda mengembangkan kemahiran insani, misalnya kepimpinan, penyelesaian masalah, dan kemahiran interpersonal. Ini sifat-sifat yang sangat bernilai buat seorang pengurus dan boleh membantu anda mendapat promosi dengan lebih pantas. Kemahiran ini juga berguna dalam pelbagai sektor, bermakna anda boleh menggunakannya untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor baharu.

Kalau Nak Jadi Influencer/ Gig Worker, Saya Tetap Kena Sambung Belajar?
Pendek kata, pendidikan masih sangat penting untuk membantu anda mencapai pendapatan tinggi dan kejayaan dalam hidup. Malah, Khairul Aming juga merupakan seorang graduan ijazah kejuruteraan mekanikal dari Amerika Syarikat telah berulang kali menekankan kepentingan pendidikan dalam mengembangkan pandangan dunia para belia.
Beliau juga menekankan bahawa kerjaya influencer nya telah mengambil masa lapan tahun untuk dibina, sebelum beliau mencapai kejayaannya sebagai influencer mega. Sepanjang tempoh itu, beliau bekerja sebagai seorang jurutera.
Fullspeech Khairulaming masa Tiktok Awards 2024 pic.twitter.com/MR4ljD0TRl
— フィルダウス (@frdausyasin) August 11, 2024
Sekiranya anda mengejar impian untuk menjadi seorang influencer atau mahu melakukan pekerjaan gig, adakah diingatkan bahawa laluan ini sukar dan berliku. Jadi, pastikan anda menyediakan jaring keselamatan sebagai jalan keluar sekiranya anda gagal sampai ke tahap yang anda impikan. Salah satu cara terbaik dalam menyediakan jaring keselamatan ini adalah dengan mempunyai pendidikan yang baik.
Sekiranya anda masih tidak pasti tentang aspirasi kerjaya, gunakan laman web panduan kerjaya yang boleh dipercayai seperti Schola untuk merancang pengajian dan membina kerjaya anda!
Tag:Pendapatan, Pendidikan




