Selalu Tak Cukup Duit Sebab Tak Berpendapatan Tetap? Buat 3 Perkara Ni

Landskap pekerjaan di Malaysia kian berubah disebabkan semakin ramai yang menyertai pekerjaan gig (gig workers) dan bekerja sendiri. Mengikut data dari Maybank IB Research, 6.5% daripada tenaga kerja negara kini merupakan pekerja sendiri yang tidak bergaji tetap (atau pendapatan yang tidak konsisten).
Jika anda tergolong dalam kategori ini atau berhasrat untuk bekerja sendiri, artikel ini untuk anda! Anda akan mempelajari beberapa strategi untuk membina kestabilan kewangan sewaktu anda menerima pendapatan tinggi dan rendah.
Cabaran Unik Bagi Golongan Yang Tidak Bergaji Tetap

Jika anda tidak bergaji tetap, ini bermakna jumlah pendapatan yang diterima setiap minggu atau bulan (atau tempoh bayaran lain yang telah ditetapkan) akan berbeza setiap kali.
Oleh itu, anda akan menghadapi beberapa cabaran unik yang memerlukan anda lebih berhati-hati ketika membuat perancangan kewangan.
Ini termasuklah:
- Pendapatan yang tidak dapat diramalkan boleh menyebabkan ketidakpastian, serta tekanan emosi.
- Aliran tunai yang tidak menentu sebab anda akan menerima bayaran yang berbeza atau sering berubah.
- Anda perlu meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk merancang kewangan supaya boleh menampung kos sara hidup serta menabung demi masa depan.
Tiga Cara Menguruskan Pendapatan Tak Tetap
Cabaran-cabaran ini mungkin membimbangkan pada mulanya, tetapi terdapat pelbagai strategi yang boleh diguna untuk menghadapi situasi ini sebenarnya. Ini tiga cara untuk membantu anda ketika bulan berpendapatan rendah dan tinggi:
1) Kira kos sara hidup minimum

Anda perlu tahu jumlah pendapatan minimum yang diperlukan untuk menampung kos sara hidup anda. Ini termasuk barangan runcit yang perlu dibeli, sewa, bil utiliti dan perbelanjaan penting lain.
Ketika bulan berpendapatan rendah: Hentikan sesetengah bayaran buat sementara waktu. Misalnya, langganan hiburan anda boleh dihentikan buat sementara waktu bagi mengurangkan perbelanjaan anda pada bulan yang sukar.
Ketika bulan berpendapatan tinggi: Anda boleh membuat bayaran tambahan ketika bulan berpendapatan tinggi untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat. Gunakan kaedah Debt Avalanche atau Debt Snowball untuk membantu anda!
2) Mulakan dana kecemasan dan beli insurans

Anda perlu memulakan dana kecemasan, terutamanya untuk keadaan di mana pendapatan anda jatuh mendadak atau anda mengalami krisis kewangan. Pihak kerajaan mencadangkan agar anda menyediakan dana yang cukup untuk perbelanjaan selama 6 bulan.
Insurans pula boleh melindungi kewangan anda jika anda mengalami kecemasan. Pekerja gig, terutamanya, boleh menggunakan inisiatif seperti program Insurans E-hailing Harian Grab. Kerajaan juga telah menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig untuk melindungi kebajikan pekerja gig pada masa hadapan.
Ketika bulan berpendapatan rendah: Dana kecemasan boleh digunakan untuk membantu anda ketika masa yang mencabar ini, tapi mestilah sebagai jalan terakhir sahaja. Misalnya, anda boleh gunakan sebahagian daripada dana kecemasan anda untuk membeli barangan keperluan asas, dan bukannya untuk barangan yang tidak perlu (contohnya pakaian yang anda suka).
Ketika bulan berpendapatan tinggi: Katakan anda telah gunakan sebahagian daripada dana kecemasan semasa bulan berpendapatan rendah. Inilah masa yang sesuai untuk gunakan pendapatan tambahan untuk membina semula dana itu! Anda juga boleh menaik taraf pelan insurans anda jika berkemampuan.
3) Sediakan bajet yang terperinci

Belanjawan ialah pelan bertulis yang menerangkan bagaimana anda akan membelanjakan duit anda dalam satu tempoh tertentu. Kategorikan perbelanjaan anda sebagai sesuatu yang diperlukan atau yang diingini, atau untuk hiburan harian supaya anda tahu aliran tunai anda dan boleh mengutamakan perbelanjaan anda.
Ketika bulan berpendapatan rendah: Sebelum ini, kita sudahpun menekankan bahawa anda mesti tahu jumlah pendapatan minimum yang diperlukan untuk menampung keperluan asas anda. Semasa bulan berpendapatan rendah, pastikan bajet bulanan anda mengikuti jumlah minimum tersebut untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
Ketika bulan berpendapatan tinggi: Anda memang berhak untuk menikmati hasil titik peluh anda, tetapi jangan lupa untuk menabung dan melabur juga. Sebagai seorang pekerja gig, anda juga boleh menggunakan i-Saraan, inisiatif caruman sukarela dari KWSP untuk menabung bagi persaraan anda. Melalui program ini, anda juga boleh bayaran sebanyak 15% daripada jumlah sumbangan anda daripada kerajaan (sehingga RM500 untuk tahun semasa).
Kesimpulan
Menjadi seorang pekerja gig atau bekerja sendiri mungkin boleh memberikan kebebasan untuk membina kerjaya mengikut kesukaan anda, tetapi salah satu cabaran yang perlu dihadapi ialah pendapatan yang tidak konsisten. Ini boleh jadi masalah besar jika anda tidak cekap menguruskan wang mengikut gaya hidup anda.
Oleh itu, gunakanlah strategi-strategi yang telah dikongsikan di atas untuk membantu anda. Gunakan kalkulator belanjawan kami untuk membantu merancang bajet bulanan terperinci anda!




