Patut Ke Anda Ambil Moratorium Pinjaman?

Terkini- Pada 6 May 2020, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa pihak bank tidak sepatutnya mengenakan faedah terhadap pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam semasa tempoh moratorium. Jika bank anda mengenakan faedah terhadap pinjaman anda, sila hubungi Bank Negara Malaysia menerusi talian khidmat pelanggan mereka 03- 21741717.
Bank Negara Malaysia (BNM) telah umumkan moratorium 6 bulan secara automatik untuk semua pinjaman bank (kecuali baki pinjaman kad kredit) individu dan perusahaan kecil dan sederhana (SME). Kalau pendapatan anda terjejas akibat daripada pemotongan gaji atau anda dicutikan tanpa gaji semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), moratorium ini dapat kurangkan beban anda dengan penangguhan pembayaran hutang bulanan.
Moratorium tu apa?
Moratorium membolehkan anda menangguhkan pembayaran pinjaman untuk tempoh tertentu tanpa menjejaskan sejarah kredit anda. Dalam kes ini, tempohnya bermula dari 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.
Apa kriteria yang mesti dipenuhi?
● Bayaran pinjaman anda mestilah tak ada yang tertunggak selama 90 hari atau lebih, setakat 1 April 2020.
● Pinjaman mesti dalam Ringgit Malaysia.
Syarat-syarat yang dikenakan mungkin tak sama antara satu bank dengan yang lain, jadi lebih baik anda hubungi bank anda dan buat pertanyaan secara terus.
Moratorium ini terpakai secara automatik, jadi kalau anda tak nak mengambilnya, anda kena beritahu kepada bank anda. Tanya saja dengan bank anda macam mana cara untuk pilih keluar (opt-out).
Bank mana yang menawarkan moratorium?
Semua bank tempatan dan juga bank asing menawarkan moratorium ini. Tapi, kalau pinjaman peribadi/sewa beli anda bukan dengan sebuah bank, moratorium ini mungkin tak akan terpakai untuk anda. Dalam kes ini, sila periksa dengan pemberi pinjaman anda.
Moratorium ini terpakai untuk jenis pinjaman apa?
Untuk kebanyakan bank, moratorium ini terpakai untuk semua pinjaman konvensional atau pembiayaan Islam bagi individu dan SME.
Bagaimana moratorium ini memberi kesan kepada pinjaman anda?
Mari kita tengok apa pinjaman yang biasanya diambil oleh seorang individu atau sebuah SME:
Pinjaman/pembiayaan peribadi dan Perjanjian Sewa Beli
Kebanyakan pinjaman peribadi dan perjanjian sewa beli berdasarkan kadar faedah rata.
Untuk perjanjian pinjaman kadar faedah rata, kalau anda ambil moratorium:
●Tak ada faedah tambahan akan dikenakan.
● Tempoh pinjaman akan dipanjangkan untuk tempoh yang sama dengan tempoh moratorium.
(Anda boleh belajar lagi tentang kadar faedah rata di sini).
Pinjaman Perumahan
Pinjaman perumahan selalunya dikira dengan menggunakan kaedah baki berkurangan.
Untuk pinjaman baki berkurangan, kalau anda ambil moratorium:
● Faedah anda akan terus bertambah
● Anda boleh panjangkan tempoh pinjaman lebih daripada enam bulan untuk membayar faedah tambahan
(Anda boleh belajar lagi tentang pinjaman baki berkurangan di sini).
Kalau anda ambil moratorium untuk pinjaman rumah anda, ada beberapa pilihan untuk uruskan bayaran balik anda selepas moratorium tamat. Bincangkan pilihan yang anda ada dengan bank anda.
Moratorium: Ya atau Tidak?
Kalau anda mampu membuat bayaran dan sudah ada dana kecemasan, lebih baik anda tak ambil pilihan moratorium, sebaliknya teruskan membuat bayaran balik pinjaman seperti biasa. Tapi, kalau anda kesempitan wang, mengambil moratorium akan ringankan beban kewangan anda dan lebih mudah untuk anda menampung perbelanjaan harian semasa tempoh PKP.
Kalau anda perlu bantuan membuat pengiraan pinjaman perumahan sekali lagi, silalah guna kalkulator pinjaman perumahan kami.
Untuk maklumat lanjut tentang moratorium ini, anda boleh juga merujuk kepada Soalan Lazim BNM.




