- Home
- Panduan kami
- Merancang Belanjawan
- Panduan Multiply: Kekal Selamat & Lindungi Wang Anda Dari Scammer
Apakah Sumber Yang Boleh Anda Gunakan Untuk Melindungi Diri Dari Scammer?
Walaupun terdapat undang-undang dan langkah keselamatan yang ditetapkan, anda harus ingat bahawa anda mempunyai kuasa untuk melindungi diri anda daripada ancaman scammer.
Memahami tingkah laku dan taktik mereka adalah langkah pertama yang berkesan. Anda juga boleh melindungi diri anda lebih baik dengan merujuk sumber maklumat mengenai scammer yang disediakan untuk warganegara Malaysia.
Contohnya, anda boleh mengesahkan nombor telefon yang mencurigakan dengan aplikasi pengenalan pemanggil percuma seperti Whoscall. Aplikasi ini menggunakan pangkalan data besar nombor yang diketahui untuk membantu pengguna mengenal pasti kemungkinan panggilan penipuan.
Sebelum ini, Whoscall telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan akaun premium secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Selain aplikasi ID pemanggil, anda juga boleh menggunakan sumber berikut untuk melaporkan atau mengesahkan maklumat jika anda mengesyaki anda telah disasarkan oleh scammers:
1. Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)

Salah satu cara untuk melaporkan maklumat tentang penipuan yang disyaki adalah dengan menghubungi NSRC di nombor talian 997. Anda juga boleh merujuk NSRC mengenai aktiviti penipuan, jika anda tidak pasti atau mempunyai pertanyaan.
2. Senarai Amaran Pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Gunakan senarai ini untuk menyemak nama entiti dan individu yang anda perlu elakkan dalam urusan perniagaan atau melabur. Anda juga boleh menghubungi SC di 03-62048999 atau e-mel mereka di aduan@seccom.com.my jika anda mengesyaki wujudnya scam.
3. Senarai Makluman Pengguna Kewangan (FCA) oleh Bank Negara Malaysia (BNM)

Bank Negara turut menyenaraikan entiti yang mendakwa diberi kuasa oleh pihaknya dalam senarai ini. Jika anda mempunyai pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi BNM di talian 1-300-88-5465.
4. Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia

Saluran yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) polis ini boleh membantu anda menyemak nombor akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat untuk rekod jenayah komersial. Sila ambil maklum bahawa pangkalan data ini hanya merekodkan data daripada kes yang pernah dilaporkan. Jadi, ia tidak bermakna ia benar-benar selamat jika tidak terdapat sebarang laporan mengenai butiran yang dicari.
Ingat: hanya gunakan saluran maklumat yang sah untuk kekal cakna dan melindungi diri anda daripada scam. Malangnya, terdapat scammers yang menggunakan taktik yang sama untuk memerangkap mangsa, seperti penggunaan aplikasi yang mengandungi perisian hasad.




