4 Perkara yang Anda Perlu Tahu Sebelum Melabur dalam Emas

Sekarang ini harga emas sedang melonjak naik, jadi anda mungkin terfikir nak turut serta membuat pelaburan emas macam orang lain. Ada banyak cara anda boleh membuat pelaburan emas – anda boleh beli emas fizikal, anda boleh beli Dana Dagangan Saham (ETF) disokong emas atau anda boleh buka satu akaun pelaburan emas.
Berikut empat perkara yang anda patut pertimbangkan sebelum memilih jenis pelaburan emas yang paling sesuai untuk anda.
1) Siapa yang memiliki emas tersebut?
Ada dua jenis pemilikan emas – emas diperuntukkan dan emas tidak diperuntukkan. Emas diperuntukkan ialah apabila anda menjadi pemilik emas itu. Emas tidak diperuntukkan ialah apabila syarikat yang anda melabur di dalamnya yang memiliki emas itu.
Emas diperuntukkan ialah cara pemilikan yang dapat membuat anda rasa lebih selamat kerana anda tahu emas itu milik anda. Namun, selalunya ada lebih banyak fi yang perlu dibayar seperti fi penyimpanan dan fi insurans untuk melindungi emas yang anda miliki. Atau jika anda menyimpannya di rumah, anda mungkin perlu membeli peti simpanan untuk menyimpan emas anda di dalamnya.
Dengan emas tidak diperuntukkan, anda bayar jumlah fi yang kurang, kerana anda tak perlu menanggung kos simpanan atau insurans. Jadi ia adalah cara pemilikan emas yang lebih murah. Namun, ia juga lebih berisiko kerana kalau syarikat terpaksa tutup, pelaburan anda akan turut hilang.
Jika anda lebih pentingkan keselesaan mengetahui yang pelaburan anda selamat, pertimbangkan penggunaan kaedah pelaburan emas diperuntukkan. Jika anda hanya ingin bayar fi yang kurang dan tak kisah mengambil risiko yang lebih tinggi, anda boleh pertimbangkan kaedah pelaburan emas tidak diperuntukkan.
2) Harga sebenar membeli dan menjual emas sedikit berbeza daripada harga pasaran
Contohnya, jika harga pasaran global emas ialah RM252 per gram, anda mungkin kena bayar RM254 per gram, iaitu RM2 lebih daripada harga pasaran. Atau apabila anda menjual emas anda, anda mungkin harus menjualnya pada harga RM250 per gram, iaitu RM2 lebih rendah daripada harga pasaran. Jadi carilah pelaburan dengan julat perbezaan sebaran yang paling kecil untuk membantu anda menjimatkan kos.
3) Sejauh mana tahap kecairan pelaburan emas?
Kecairan merujuk kepada berapa cepat anda boleh menjual suatu pelaburan untuk mendapatkan tunai. Bergantung kepada cara anda melabur dalam emas, ia boleh jadi senang atau susah untuk dijual. Contohnya, menjual emas fizikal lebih susah daripada menjual ETF disokong emas, kerana anda perlu cari sendiri pembeli untuk emas fizikal, dan emas tersebut perlu dibawa bersama ketika jualan dibuat. Sebaliknya dengan ETF, anda boleh menjualnya di bursa seperti Bursa Malaysia, sama seperti membeli dan menjual saham. Jadi, kalau anda perlu tukarkan pelaburan anda kepada tunai dengan segera, pastikan anda pilih jenis pelaburan yang mempunyai kecairan yang tinggi.
4) Adakah pelaburan emas anda perlu diinsuranskan?
Apabila anda melabur dengan syarikat tertentu, mereka akan mendapatkan insurans untuk emas anda dan mengenakan fi yang anda perlu bayar. Tapi kalau anda membeli emas fizikal, anda sendiri akan bertanggungjawab untuk memastikan emas anda selamat. Menyimpan emas anda dalam lokar atau di bawah katil anda mungkin bukan strategi terbaik untuk melindungi pelaburan anda daripada mengalami kerosakan atau dicuri. Jadi, pastikan anda periksa sama ada emas anda telah diinsuranskan. Kalau tidak pun, mungkin lebih senang untuk anda beli sendiri insurans untuk emas anda.
Memilih cara yang paling sesuai untuk membuat pelaburan emas akan bergantung kepada faktor seperti keperluan individu anda dan ketahanan risiko anda. Empat tip di atas akan dapat membantu anda membuat perbandingan dan memilih jenis pelaburan emas yang terbaik untuk anda! Baca panduan kami ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan emas.




