-
Pengenalan
-
Jom selami lagi topik ni...
Patut ke anda ambil satu pinjaman peribadi?
Sebelum membuat apa-apa keputusan kewangan, sebagai langkah yang baik anda patut tanya beberapa soalan penting kepada diri sendiri:
Apa yang akan saya beli dengan duit tersebut? Adakah saya benar-benar perlukannya (contohnya adakah ia diperlukan untuk tujuan perubatan?) atau untuk kemahuan (seperti percutian mewah)?
Pinjaman peribadi BUKAN satu jalan untuk membuka peluang memiliki sesuatu yang anda tidak mampu. Ia sepatutnya hanya digunakan untuk tujuan kecemasan. Berhutang dengan meminjam wang menjerumuskan anda ke dalam satu pusingan hutang yang tak berkesudahan
Adakah saya mengambil pinjaman peribadi untuk dijadikan dana pelaburan?
Anda juga tak patut menggunakan pinjaman peribadi untuk membuat pelaburan. Contohnya, jangan ambil pinjaman untuk membeli saham atau matawang kripto. Tiada sebarang jaminan yang anda akan dapat pulangan daripada pelaburan, jadi mengambil pinjaman untuk melabur juga merupakan satu tindakan yang berisiko tinggi.
Boleh ke saya gunakan wang simpanan saya untuk membayar apa yang saya mahu? Patut ke saya tunggu dan beli apabila saya ada duit lebih?
Kalau ada sesuatu yang anda betul-betul ingin beli, menabunglah sikit demi sikit. Ini lebih baik daripada mengambil pinjaman. Gunakan kalkulator matlamat simpanan supaya anda tahu berapa banyak wang yang anda perlu simpan setiap bulan, sehingga anda mampu memilikinya.
Adakah saya mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang saya yang tertunggak?
Ada sesetengah orang mengambil pinjaman peribadi untuk melunaskan hutang-hutang mereka yang lain. Dengan cara ini hanya satu pembayaran perlu dibuat pada kadar faedah yang sepatutnya lebih rendah. Jika anda juga dalam situasi ini, dapatkan kaunseling kewangan terlebih dahulu di AKPK untuk pastikan sama ada pinjaman peribadi memang cara yang terbaik untuk menguruskan hutang anda.