-
Pengenalan
-
Jom selami lagi topik ni...
Dapatkan ketenangan minda
Memiliki rumah sendiri akan memberi anda ketenangan minda kerana anda mempunyai tempat berlindung yang tetap. Walaupun anda memang boleh menyewa, pilihan ini membawa cabaran tertentu, contohnya kadar sewa yang semakin meningkat atau tuan rumah yang tak bertimbang rasa.
Tak perlu pening tentang kadar sewa yang meningkat
Perjanjian sewa rumah biasanya ditandatangani untuk tempoh satu atau dua tahun, sebelum ia perlu diperbaharui. Setiap kali ia diperbaharui, tuan rumah biasanya akan menaikkan harga sewa bulanan. Oleh itu, walaupun anda boleh duduk di rumah yang sama untuk tempoh yang panjang, kemungkinan besar sewa rumah yang anda perlu bayar akan semakin meningkat.
Jimat kos berpindah
Jika anda memilih untuk tidak memperbaharui perjanjian sewa rumah setiap kali tamat tempoh, anda kena cari rumah yang baru untuk disewa selang beberapa tahun. Ini tentu mencabar kerana anda perlu mencari tempat yang sesuai dengan keperluan anda (termasuk dari segi saiz rumah, kos, lokasi, pengangkutan ke tempat kerja serta keperluan sosial) serta terpaksa menanggung kos untuk berpindah – itu belum lagi mengambil kira perasaan stres apabila perlu mengemas barang setiap kali hendak berpindah.
Jadilah raja dalam istana sendiri
Tuan rumah pun ada macam-macam perangai dan ragam. Ada yang sangat cerewet tentang apa yang anda boleh buat dan tidak boleh buat di dalam rumahnya, dan ada pula yang lepas tangan apabila timbul keperluan untuk membaiki rumah. Tuan rumah juga boleh menjual rumah sewa anda pada bila-bila masa, dan anda akan terpaksa berpindah ke tempat lain melainkan anda sendiri yang membeli rumah tersebut.
Walaupun pemilikan rumah ada cabarannya yang tersendiri, memiliki rumah sendiri membebaskan anda daripada kerenah tuan rumah dan ketidakpastian yang wujud apabila menyewa rumah orang.