-
Pengenalan
-
Jom selami lagi topik ni...
- Bagaimana e-wallet berfungsi?
- Berapa jenis e-wallet yang ada?
- Apakah kegunaan e-wallet?
- Apakah kelebihan dan kekurangan menggunakan e-wallet?
- Sejauh mana e-wallet selamat digunakan?
- Apa lagi yang anda perlu tahu tentang e-wallet?
- Bagaimana untuk memasang dan menggunakan e-wallet?
- Bagaimana anda boleh memaksimumkan penggunaan e-wallet anda?
Apakah kelebihan dan kekurangan menggunakan e-wallet?
Kelebihan
- Pantas dan mudah: Kelebihan terbesar e-wallet ialah kebolehannya membuat pembayaran dengan pantas, terutamanya dalam situasi apabila anda tidak ada wang tunai, atau anda perlu membuat pembayaran dalam kedai fizikal yang lebih kecil dan tidak menerima pembayaran melalui kad kredit/kad debit (seperti kedai runcit). Ciri penggunaan e-wallet yang tidak memerlukan sentuhan fizikal juga membantu mengurangkan kontak fizikal dalam situasi pandemik Covid-19 yang dihadapi sekarang.
- Menjejak perbelanjaan: Suatu e-wallet akan sentiasa memaparkan dengan jelas jumlah baki wang yang ada di dalamnya. Ini dapat membantu anda merancang perbelanjaan anda. Terdapat e-wallet tertentu yang dilengkapi dengan penjejak perbelanjaan supaya anda boleh lihat dengan jelas bagaimana anda membelanjakan wang anda. Ini dapat membantu anda merancang belanjawan anda.
- Ganjaran dan pulangan wang tunai (cashback): Ada e-wallet tertentu yang memberikan anda ganjaran dalam bentuk poin/coin apabila anda menggunakan e-wallet tersebut. Ganjaran-ganjaran ini dapat digunakan untuk menebus diskaun. Ada juga e-wallet yang akan memberi anda cashback jika anda membelanjakan amaun minimum tertentu. Contohnya, anda boleh dapat pulangan wang tunai sebanyak RM5 untuk setiap RM100 yang anda belanjakan.
- Tak perlu bawa banyak wang tunai: Dengan adanya perkhidmatan e-wallet, anda tak perlu bawa banyak wang tunai apabila anda keluar. Ini boleh mengurangkan kesan buruk yang akan ditanggung sekiranya anda kehilangan dompet fizikal anda.
Kekurangan
- Bergantung kepada telefon anda dan sambungan internet anda: Jika telefon anda kehabisan bateri atau anda hilang sambungan internet, anda tak akan dapat menggunakan e-wallet anda (melainkan jika e-wallet anda dalam bentuk kad fizikal).
- Keselamatan: Semua e-wallet yang berdaftar selalunya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Tetapi tidak ada peranti elektronik yang boleh dijamin 100% selamat. Tetap ada risiko yang maklumat anda mungkin bocor. Jadi, pastikan anda tidak menyimpan terlalu banyak maklumat dalam e-wallet anda. Contohnya, untuk mengisi wang ke dalam e-wallet anda, anda patut masukkan butiran satu kad sahaja. Dengan cara ini, jika berlaku apa-apa kebocoran maklumat, kad-kad yang lain masih selamat.
- Berbelanja lebih daripada keperluan: Ada orang berpendapat bahawa pengguna mungkin akan jadi lebih boros berbelanja apabila menggunakan e-wallet. Ini kerana e-wallet sangat mudah untuk digunakan dan duit boleh terus diisi semula apabila baki dalam e-wallet menjadi rendah dan anda ingin membeli sesuatu.