-
Pengenalan
-
Jom selami lagi topik ni...
- Bagaimana e-wallet berfungsi?
- Berapa jenis e-wallet yang ada?
- Apakah kegunaan e-wallet?
- Apakah kelebihan dan kekurangan menggunakan e-wallet?
- Sejauh mana e-wallet selamat digunakan?
- Apa lagi yang anda perlu tahu tentang e-wallet?
- Bagaimana untuk memasang dan menggunakan e-wallet?
- Bagaimana anda boleh memaksimumkan penggunaan e-wallet anda?
Sejauh mana e-wallet selamat digunakan?
Setiap e-wallet perlu mendapat lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM), jadi sebelum anda menggunakan mana-mana e-wallet, pastikan yang ia memang dilesenkan oleh BNM.
Secara umum, terdapat 2 aspek utama yang perlu dipertimbangkan dalam menilai sejauh mana suatu e-wallet itu selamat digunakan:
- Adakah maklumat anda kekal sulit?
Di bawah garis panduan BNM, syarikat yang menawarkan e-wallet berdaftar perlu memastikan bahawa ia telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk memastikan maklumat anda selamat dan kekal sulit. Ciri-ciri keselamatan ini lazimnya akan dikemas kini dari masa ke masa untuk memastikan ia berkesan. Walaupun tidak memberi jaminan 100%, ia membantu melindungi maklumat anda daripada risiko kebocoran. - Adakah wang anda selamat?
Jika e-wallet anda ialah satu produk bank yang merupakan ahli PIDM, wang anda akan dilindungi oleh PIDM. PIDM ialah satu bentuk insurans bagi wang yang anda depositkan dalam bank. Jadi kalau apa-apa terjadi kepada bank tersebut, wang anda akan dikembalikan kepada anda (selalunya jumlahnya dihadkan kepada RM250,000). Sebaliknya, bagi syarikat e-wallet lain, wang anda tidak dijamin oleh PIDM. Namun begitu, BNM mengenakan peraturan-peraturan ketat yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat e-wallet. Contohnya, mereka tidak boleh membelanjakan atau melaburkan wang anda di tempat lain. Kalau syarikat tersebut menjadi muflis sekalipun, wang anda harus dipulangkan semula kepada anda.
Ingat, walaupun ada langkah-langkah keselamatan yang tersedia, anda patut ambil langkah berjaga-jaga anda sendiri untuk memastikan keselamatan e-wallet anda. Mulakan dengan peranti anda, pastikan anda pasang kata laluan kunci skrin atau imbasan biometrik (cap jari, pengecaman wajah). Penting untuk anda jaga keselamatan peranti anda, kerana kalau ada orang lain mengambil telefon anda dan berjaya masuk ke dalamnya, orang itu akan mendapat akses kepada e-wallet anda.
Anda tak perlukan kata laluan untuk membuka aplikasi e-wallet anda. Ciri keselamatan e-wallet sebenarnya agak susah untuk difahami. Bagi e-wallet tertentu, setelah anda pautkan akaun bank atau kad anda dengan e-wallet, selalunya tiada lagi langkah pengesahan yang perlu dibuat untuk mengisi semula wang atau membuat bayaran. Sementara itu, ada e-wallet lain yang memerlukan anda memasukkan satu kata kunci/OTP/TAC setiap kali anda mahu membuat pembayaran. Ini lebih menjamin keselamatan penggunaan e-wallet anda jika ada orang lain yang cuba menggunakannya.
Tidak kira apa jenis e-wallet yang anda digunakan, pilihan yang paling selamat ialah untuk tidak memautkan mana-mana kad atau akaun bank kepada e-wallet anda.Tetapi ini bermakna anda perlu memasukkan maklumat bank atau maklumat kad anda setiap kali anda mahu mengisi duit ke dalam e-wallet anda, dan cara begini mungkin sedikit leceh. (Lihat bahagian seterusnya tentang Bagaimana untuk memasang dan menggunakan e-wallet?)
Satu lagi, pastikan anda tidak berkongsi maklumat peribadi anda, seperti nombor akaun bank atau nombor kad debit/kredit, kod OTP atau kod TAC yang anda terima, dengan sesiapa pun.
Memandangkan wang diisi semula ke dalam e-wallet dengan menggunakan perbankan dalam talian, kad kredit atau kad debit, anda hendaklah selalu memantau transaksi anda untuk melihat kalau-kalau terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan.