Fahami perniagaan syarikat tersebut
Bayangkan anda sedang melihat senarai saham di Bursa Malaysia. Bagaimana anda nak pilih saham syarikat yang sesuai untuk anda melabur dalamnya?
Anda boleh mulakan langkah dengan memilih syarikat yang anda tahu serba sedikit mengenainya. Kemudian, anda perlulah belajar tentang selok-belok perniagaan syarikat tersebut dengan lebih mendalam.
Contohnya, MR. DIY ialah sebuah syarikat yang menjual barang-barang keperluan rumah. Ia menjana keuntungan dengan mengambil barangan daripada pembekal dan menjualnya kepada para pembeli pada harga yang rendah. Nestle pula menghasilkan barangan makanan dan minuman yang selalunya dapat dijumpai di mana-mana pasar raya dan kedai runcit.
Setelah anda mempelajari tentang perniagaan yang diceburi oleh syarikat itu, anda perlu faham bagaimana kedudukan kewangannya. Selain daripada melihat prestasi kewangan syarikat (yang akan kami huraikan dalam bahagian Bagaimana prestasi kewangan syarikat? dalam Panduan ini), anda boleh kumpul maklumat lain tentang perniagaan syarikat itu: Bagaimana prestasi kewangan syarikat? dalam Panduan ini), anda boleh kumpul maklumat lain tentang perniagaan syarikat itu:
- Perhatikan bagaimana sambutan terhadap perniagaan itu: Jika perniagaan itu melibatkan kedai fizikal seperti MR.DIY, anda boleh kunjungi cawangan-cawangan kedai itu untuk melihat sejauh mana kedai itu mendapat sambutan pelanggan. Kedai yang ramai pelanggan menandakan bahawa prestasi syarikat itu adalah baik.
- Bandingkan perniagaan tersebut dengan pesaing-pesaingnya: Jika boleh, bandingkan produk syarikat itu dengan produk syarikat pesaing untuk menilai yang mana lebih bagus.
- Selidik maklum balas daripada pelanggan: Anda juga boleh berkomunikasi dengan para pelanggan atau membaca ulasan dalam talian tentang produk syarikat itu (pada asasnya cuba lihat maklum balas sesiapa yang telah membeli produk syarikat itu). Jika ramai pelanggan yang berpuas hati, ini satu penunjuk yang baik, tetapi jika ramai yang membuat aduan tentang produk syarikat tersebut, mungkin syarikat itu bukanlah pilihan yang terbaik untuk anda melabur dalam sahamnya. Jika syarikat tersebut menjual produk atau perkhidmatannya kepada syarikat-syarikat lain dan bukan pelanggan perseorangan seperti anda (contohnya syarikat yang menjual produk dan perkhidmatan IT kepada syarikat lain) anda boleh buat carian Google tentang syarikat itu untuk mengetahui pendapat orang lain tentangnya.