Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Skim Pengeluaran Wang KWSP i-Citra
Setelah tempoh PKP dilanjutkan sekali lagi bermula 28 Jun, kerajaan telah mengumumkan satu skim pengeluaran KWSP baharu yang dipanggil i-Citra untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi pandemik COVID-19.
Apa yang anda boleh dapat?
Bergantung kepada jumlah baki simpanan dalam akaun KWSP anda (Akaun 1 + Akaun 2), anda boleh membuat pengeluaran daripada akaun KWSP anda sehingga jumlah maksimum RM5,000.
Bila anda boleh dapatkan wang tersebut?
Pembayaran yang pertama akan dikreditkan ke dalam akaun anda pada bulan Ogos 2021.
Siapa yang boleh membuat pengeluaran di bawah skim i-Citra?
Jika anda mahu membuat pengeluaran di bawah skim i-Citra, anda perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
- Berumur 55 tahun ke bawah.
- Mempunyai sekurang-kurangnya RM150 jumlah wang simpanan dalam akaun KWSP.
Bagaimana anda boleh memohon pengeluaran di bawah i-Citra?
Anda boleh membuat permohonan menerusi portal dalam talian i-Citra di http://icitra.kwsp.gov.my/ dari 12 Julai 2021 sehingga 30 September 2021.
Apabila anda memohon untuk i-Citra, KWSP akan menghantar satu kata laluan sekali guna (OTP) kepada nombor telefon bimbit anda. Anda perlu memasukkan OTP itu apabila anda memohon pengeluaran di bawah i-Citra untuk mengesahkan pengeluaran tersebut.
Jadi, pastikan nombor telefon bimbit anda sudah dikemas kini dalam rekod KWSP dan pastikan juga bahawa akaun bank anda aktif supaya anda akan dapat menerima wang pengeluaran tersebut!
Anda boleh kemas kini nombor telefon bimbit anda di mana-mana kiosk KWSP. Selepas anda telah mengemas kini nombor anda, anda boleh log masuk ke dalam i-Akaun anda secara dalam talian dan buat pengesahan bahawa nombor telefon anda telah pun dikemas kini.
Jika perlu, anda boleh semak dengan bank anda tentang status akaun bank anda.
Bagaimana i-Citra berfungsi?
Wang yang anda ingin keluarkan itu akan diambil daripada Akaun 2 anda dahulu. Jika anda tidak mempunyai wang yang cukup dalam Akaun 2, barulah wang pengeluaran akan diambil daripada Akaun 1 anda.
Dengan andaian bahawa anda akan mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM5,000, wang tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank anda secara ansuran, iaitu sebanyak RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan. Pembayaran akan dibuat bermula bulan Ogos 2021.
Jumlah minimum yang anda boleh keluarkan ialah RM250, iaitu RM50 sebulan. Anda juga perlu meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1 KWSP anda.
Untuk menyemak berapa banyak wang simpanan KWSP yang anda ada, anda boleh log masuk ke dalam portal i-Akaun KWSP, aplikasi mudah alih i-Akaun atau sebuah kiosk KWSP.
Bolehkah anda memohon pengeluaran di bawah i-Citra jika anda sudah memohon pengeluaran di bawah i-Sinar dan i-Lestari?
Sebelum ini, rakyat Malaysia telah dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang KWSP di bawah skim i-Sinar dan i-Lestari. Permohonan untuk i-Sinar baru ditutup pada 30 Jun 2021.
Asalkan anda ada sekurang-kurangnya RM150 baki wang KWSP pada tarikh anda membuat permohonan, anda masih boleh memohon di bawah skim i-Citra walaupun anda telah membuat pengeluaran wang KWSP di bawah skim i-Sinar dan i-Lestari.
Patutkah anda membuat permohonan di bawah i-Citra?
Jika anda memerlukan wang tersebut untuk kelangsungan hidup, pengeluaran i-Citra akan dapat membantu anda. Tapi cubalah keluarkan jumlah wang yang anda perlukan sahaja, dan bukan jumlah maksimum sebanyak RM5,000.
Tapi jika anda tidak mempunyai keperluan untuk menggunakan wang tersebut dan masih mampu menampung kos kehidupan, lebih baik anda tidak mengeluarkan wang KWSP kerana wang tersebut sepatutnya digunakan untuk persaraan anda kelak. Anda juga akan kehilangan dividen yang boleh dijana daripada simpanan KWSP anda setiap tahun. KWSP menjamin dividen pada kadar minimum sebanyak 2.5% setahun. Dari tahun 2011 sehingga tahun 2020, KWSP telah membayar dividen purata pada kadar 6.1% setahun.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang i-Citra, anda boleh layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan i-Citra di 03-8922 4848.
Pautan berkaitan:
Apa bantuan kerajaan yang boleh anda dapat daripada pakej PEMULIH?
Nak tahu kenapa penting untuk anda menyimpan wang dalam KWSP? Tonton video ini.
Jika anda perlukan bantuan merancang belanjawan anda, cubalah gunakan kalkulator belanjawan kami. You can also gunakan kalkulator sasaran simpanan kami untuk membantu anda mencapai sasaran anda.
Nak tahu berapa banyak wang yang anda boleh kumpul dalam akaun KWSP jika anda menyimpan wang di sana? Gunakan kalkulator simpanan persaraan kami.