Apa Sebab yang Baik untuk Bank Lanjutkan Tempoh Moratorium Anda?
Apabila moratorium pinjaman berakhir pada 30 September 2020, kita kena mula bayar semula pinjaman bank kita. Tapi kalau anda benar-benar terkesan akibat wabak COVID 19 yang melanda, anda mungkin patut diberi kebenaran untuk melanjutkan tempoh moratorium. Tapi boleh ke nak lanjutkan?
Ya, sebenarnya kerajaan telah meminta pihak bank untuk melanjutkan tempoh moratorium sehingga 31 Disember 2020 bagi kes-kes tertentu. Apakah sebab-sebab yang akan membolehkan bank meluluskan permohonan lanjutan tempoh moratorium bagi seseorang? Kami bertanya kepada pihak bank tentang hal ini dan maklumat yang kami dapati adalah seperti berikut:
- Anda kehilangan punca pendapatan
Kalau anda kehilangan punca pendapatan akibat diberhentikan kerja atau terpaksa tutup perniagaan anda semasa tempoh PKP, dan anda masih tak ada sumber pendapatan menjelang 30 September 2020, pihak bank akan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman anda sehingga 31 Disember 2020. - Kalau pendapatan anda terjejas
Kalau pendapatan anda terjejas (sama ada disebabkan oleh pemotongan gaji atau perniagaan anda merudum), pihak bank akan membantu menstrukturkan semula pinjaman anda. Apabila pinjaman anda distrukturkan semula, bayaran balik bulanan anda akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan gaji yang dipotong. Contohnya, kalau pendapatan anda telah berkurang sebanyak 30%, jumlah bayaran balik pinjaman anda pun akan dikurangkan sebanyak 30%.
TAPI mengurangkan bayaran balik bulanan bermaksud tempoh pinjaman anda akan menjadi lebih panjang. Bergantung kepada bagaimana pinjaman anda distrukturkan, anda juga mungkin perlu membayar lebih faedah. (Anda boleh baca lagi tentang bagaimana moratorium pinjaman memberi kesan kepada bayaran balik pinjaman di sini.) Apa pun, anda kena buktikan kepada pihak bank yang pendapatan anda memang benar-benar terjejas. Anda mungkin perlu berikan kepada pihak bank slip gaji anda dan juga penyata bank anda untuk bulan-bulan sebelum dan selepas PKP. - Kalau pasangan anda hilang sumber pendapatan
Kalau pasangan anda telah hilang sumber pendapatan dan anda kini terbeban menanggung semua perbelanjaan keluarga, anda boleh menulis surat kepada pihak bank untuk memohon lanjutan tempoh moratorium. Pihak bank akan mempertimbangkan setiap kes permohonan yang diterima. Anda perlu buktikan kehilangan pendapatan yang ketara untuk isi rumah anda. Anda juga mungkin dikehendaki memberi slip gaji dan penyata bank anda kepada pihak bank.
Apa langkah yang anda patut ambil kalau tak dapat membuat bayaran balik pinjaman?
- Berbincang dengan pihak bank anda untuk menjadualkan semula atau menstrukturkan semula pinjaman anda.
- Bincang dengan Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan kaunseling atau sertai salah satu daripada program pengurusan hutang mereka.
Kalau anda tak tergolong dalam mana-mana kategori di atas dan anda mampu membayar pinjaman anda, teruskan membuat pembayaran seperti yang dijadualkan!