Pelan Insurans Mikro Apa Yang Anda Boleh Ambil?
Dengan adanya pelbagai jenis polisi insurans mikro di luar sana, memilih pelan yang paling sesuai boleh jadi mengelirukan. Pelan insurans mikro hanya memberikan perlindungan untuk situasi tertentu, jadi anda patut semak setiap pelan dengan teliti untuk mendapatkan kepastian tentang perlindungan yang akan diperolehi. Kadar perlindungan yang diberikan oleh insurans mikro tidak dapat menyamai insurans biasa, ini salah satu sebab mengapa insurans mikro boleh dibeli dengan harga yang lebih murah berbanding insurans biasa.
Tempoh perlindungan yang diberi oleh pelan insurans mikro selalunya lebih pendek berbanding insurans biasa, jadi ia amat sesuai jika anda hanya mahukan perlindungan jangka pendek. Kalau anda ingin panjangkan tempoh perlindungan, anda boleh memperbaharui pelan anda.
Untuk mendapatkan perlindungan jangka panjang, anda patut pertimbangkan mengambil pelan insurans perubatan atau insurans hayat biasa. Pelan insurans biasa akan memberikan perlindungan perubatan dan kewangan sekiranya anda atau ahli keluarga anda jatuh sakit, mengalami kecacatan atau tiba-tiba meninggal dunia. Kita memang tak tahu bila kejadian seperti ini boleh berlaku, jadi memang bagus kalau kita ada pelan insurans jangka panjang yang sentiasa boleh digunakan, walau apa pun situasi yang melanda. Sebaliknya, kalau anda hanya ada pelan insurans mikro jangka pendek, anda tak akan mendapat manfaat perlindungan sepanjang masa.
Di sini kami senaraikan jenis-jenis polisi insurans mikro yang biasa dijumpai dan perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih mana-mana polisi insurans.
Perlindungan Perubatan
Insurans Perubatan
Insurans perubatan ialah salah satu pelan insurans yang paling penting, kerana kita pasti akan jatuh sakit pada satu masa dalam hidup kita. Kalau anda tak ada insurans perubatan, anda mungkin terpaksa membayar bil hospital yang tinggi dan menanggung hutang, terutamanya jika anda mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Namun, pelan insurans perubatan yang biasa mungkin terlalu mahal untuk sesetengah orang. Premium pelan insurans biasa boleh mencecah beberapa ribu ringgit setahun, berbanding dengan premium pelan insurans mikro yang hanya menelan kos beberapa puluh ringgit setahun. Pelan insurans perubatan yang biasa lebih sesuai jika anda mahu mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta, sementara pelan insurans perubatan mikro mungkin lebih sesuai jika anda mendapatkan rawatan di pusat perubatan kerajaan.
Kalau anda tak mampu membayar kos polisi insurans perubatan biasa buat masa ini, tapi anda ingin memiliki sedikit perlindungan perubatan, apa kata anda tinjau pelan insurans mikro yang lebih murah harganya.
Memandangkan kos seperti rawatan tertentu atau fi ambulans tak termasuk dalam pelan insurans perubatan mikro, anda mungkin boleh gabungkan pelan insurans biasa dengan pelan insurans mikro. Contohnya, anda boleh ambil pelan insurans biasa untuk mendapatkan perlindungan dari segi kos rawatan perubatan, kemasukan ke hospital dan fi ambulans. Tapi kalau anda risau tentang bil hospital yang tinggi, anda boleh tambah perlindungan dengan mengambil pelan insurans mikro untuk bil hospital sahaja.
Apabila memilih polisi, ambil kira belanjawan anda serta risiko yang anda hadapi. Berikut beberapa faktor yang patut anda pertimbangkan:
- Usia
- Sejarah kesihatan keluarga
- Belanjawan
- Perlindungan (termasuk perlindungan daripada Covid-19)
Insurans Penyakit kritikal
Anda risau tentang kos rawatan dan kemasukan ke hospital yang tak dilindungi oleh insurans perubatan? Anda boleh pertimbangkan mengambil insurans mikro untuk penyakit kritikal. Anda patut dapatkan perlindungan ini kalau keluarga anda mempunyai sejarah penyakit kritikal.
Berlainan dengan pelan insurans perubatan biasa yang akan menanggung kos rawatan, kemasukan ke hospital dan ubat-ubatan, insurans mikro untuk penyakit kritikal akan membayar sejumlah wang sekaligus kepada anda sekiranya anda didiagnosis menghidap mana-mana penyakit kritikal. Anda boleh gunakan wang itu untuk membayar kos rawatan atau fisioterapi setelah keluar daripada hospital.
Perjalanan
Anda ada rancangan untuk pergi melancong? Atau mungkin pekerjaan anda memerlukan anda kerap membuat perjalanan jarak jauh? Ada risiko anda boleh terlibat dalam kemalangan atau kehilangan bagasi anda. Disebabkan oleh Covid-19, perjalanan anda mungkin dibatalkan atau anda mungkin akan memerlukan rawatan kecemasan. Kalau anda tak mahu mengalami kesusahan jika berlaku mana-mana situasi ini, anda boleh pertimbangkan mengambil insurans perjalanan mikro. Insurans perjalanan akan melindungi anda sekiranya anda mengalami kemalangan atau jatuh sakit semasa dalam perjalanan.
Tapi, kalau anda bimbang terkena jangkitan Covid-19 semasa dalam perjalanan, anda mungkin terpaksa ambil pelan yang berasingan seperti pelan insurans perubatan mikro. Ini kerana pelan insurans perjalanan mikro lazimnya tidak akan memberi perlindungan untuk jangkitan Covid-19.
Insurans perjalanan mikro selalunya tidak memberi perlindungan perubatan jangka panjang. Kalau anda mahukan lebih perlindungan, anda patut pertimbangkan mengambil insurans perubatan.
Kemalangan Diri
Insurans kemalangan diri mikro meliputi perlindungan untuk kecederaan, kecacatan dan kematian akibat kemalangan. Anda disarankan mengambil insurans jenis ini jika pekerjaan anda melibatkan aktiviti fizikal yang berat. Kalau anda selalu memandu jarak jauh atau anda seorang pemandu e-hailing, pertimbangkan mengambil polisi untuk kemalangan diri dan insurans kenderaan. Jika pekerjaan anda hanya untuk jangka pendek, pelan insurans mikro mungkin pilihan terbaik untuk menjimatkan premium, berbanding dengan pelan konvensional yang menawarkan tempoh perlindungan yang lebih panjang. Kalau anda rasa perlu memanjangkan tempoh perlindungan, anda boleh memperbaharui pelan yang anda ambil.
Harus diingat, pelan insurans kemalangan diri mikro mungkin tidak akan memberi perlindungan untuk kemalangan berkaitan dengan masalah perubatan sedia ada, jadi anda patut pertimbangkan sama ada anda perlu mengambil insurans perubatan mikro juga.
Covid-19
Kebanyakan pelan insurans perubatan mikro tidak akan memberi perlindungan untuk komplikasi yang berkaitan dengan Covid-19, memandangkan virus tersebut membawa risiko yang tinggi. Anda patut cari pelan khusus yang menawarkan perlindungan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital akibat terkena jangkitan Covid-19.
Kalau anda tak pasti polisi mana yang patut dipilih dan anda inginkan perlindungan maksimum, cuba cari tawaran pakej yang menggabungkan beberapa jenis pelan insurans mikro, contohnya polisi insurans khas untuk perlindungan perubatan termasuk Covid-19. Malah, ada pelan yang turut memberikan manfaat perlindungan sekiranya anda kehilangan pendapatan akibat krisis Covid-19.
Perlindungan Kewangan
Insurans kad kredit dan bil utiliti
Adakah pekerjaan anda berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kematian yang tak disengajakan, kecacatan kekal atau kemasukan ke hospital? Adakah anda seorang saja yang menyara keluarga anda, atau anda berpendapatan tidak tetap, atau anda risau tentang bayaran bil-bil yang tertunggak? Kalau perkara-perkara ini mencetuskan kerisauan buat anda, anda patut pertimbangkan mengambil insurans kad kredit dan bil utiliti.
Perlindungan perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (SMEs)
Anda ingin melindungi aset perniagaan anda? Atau mungkin perniagaan anda memiliki hartanah yang bernilai? Anda boleh cari polisi yang memberi perlindungan jika berlaku kebakaran, kecurian, gangguan perniagaan, kehilangan wang dan kerosakan peralatan.
Jika kedai anda selalu menyimpan wang tunai yang banyak, anda menghadapi risiko kehilangan wang tersebut dalam perjalanan ke bank. Atau mungkin anda bimbang sekiranya perniagaan anda menghadapi gangguan atau terpaksa tutup buat sementara waktu. Bergantung kepada keperluan anda, cari pelan insurans mampu milik yang boleh melindungi anda daripada risiko kerugian perniagaan yang mungkin dialami. Jangan lupa, selepas tarikh tertentu, ada pelan insurans yang tidak lagi akan melindungi anda daripada risiko kerugian perniagaan akibat Covid-19.
Insurans perlindungan perniagaan mikro untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) meliputi kehilangan pendapatan perniagaan sekiranya berlaku kematian yang tak sengaja, kecacatan kekal atau penyakit kritikal. Semasa pandemik ini, anda boleh pertimbangkan mengambil pelan atau pelan tambahan yang turut meliputi komplikasi berkaitan Covid-19.
Insurans motosikal
Selalunya, anda akan dilindungi kalau motosikal anda hilang atau rosak akibat kemalangan, kebakaran atau kecurian. Kalau anda terlibat dalam kemalangan, anda juga mungkin dilindungi kalau anda telah menyebabkan kerosakan kepada motosikal orang lain. Fikirkan tentang jumlah yang anda mampu bayar dan tahap perlindungan yang anda perlukan sebelum memilih polisi yang paling sesuai.
Sekarang anda dah tahu tentang jenis-jenis pelan insurans mikro yang ada di luar sana. Kalau anda tak memiliki insurans dan tak yakin anda mampu membeli insurans, cuba buat tinjauan tentang pelan insurans mikro yang paling sesuai pada harga yang lebih rendah –sekurang-kurangnya anda ada sedikit perlindungan jika sesuatu yang buruk berlaku. Anda boleh juga gabungkan pelan insurans mikro dengan pelan insurans biasa untuk mendapatkan lebih perlindungan.
Untuk maklumat lanjut tentang insurans, bacalah panduan kami tentang insurans perubatan, insurans hayat dan Keluarga. Anda boleh juga baca blog kami kami tentang pengenalan kepada insurans mikro.
Tag:Insurans