Apa Bantuan Kerajaan Yang Boleh Anda Dapat Kalau Anda Diisytiharkan Muflis?
Dalam pakej bantuan kerajaan PEMERKASA yang telah diumumkan dalam bulan Mac 2021,kerajaan telah mengumumkan satu kejutan bagi mereka yang telah diisytiharkan muflis – jika anda seorang muflis, anda kini dibenarkan membuka satu akaun bank dalam talian untuk menerima bantuan tunai daripada kerajaan.
Jika anda tergolong dalam kategori B40 dan anda kehilangan pendapatan, anda layak mendapat bantuan tunai sebanyak RM500 daripada kerajaan. Jika anda seorang penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan berpendapatan RM1,000 ke bawah, anda boleh mendapat bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi.
Pengumuman ini penting kerana selalunya, jika anda telah diisytiharkan muflis, anda tidak boleh membuka akaun bank yang baru kecuali jika anda mendapat kebenaran daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), dan kebenaran ini bukan senang untuk diperolehi. Sebelum ini, anda juga tidak dibenarkan membuka akaun bank dalam talian. Akaun bank anda yang sedia ada juga tak dapat digunakan kerana wang anda akan diuruskan oleh JIM untuk tujuan membuat bayaran balik hutang anda secara bulanan.
Klik di sini untuk baca lebih lanjut tentang kemuflisan.
Jadi, bagaimana anda boleh menerima wang tunai kalau anda telah diisytiharkan muflis?
-
- Anda masih perlu mendapatkan kebenaran daripada JIM untuk membuka satu akaun bank, tapi sekarang anda hanya perlu menghantar e-mel kepada cawangan yang bertanggungjawab mengendalikan kes anda.
- Setelah mendapat kebenaran daripada JIM, anda akan diberikan surat kelulusan untuk ditunjukkan kepada bank anda. Selepas itu anda bolehlah membuka satu akaun bank; sama ada secara fizikal atau dalam talian, yang akan memudahkan urusan anda.
- Anda boleh gunakan akaun bank ini untuk menerima bantuan kerajaan. Sebelum ini, akaun bank anda hanya boleh digunakan untuk tujuan pembayaran balik hutang.
- Untuk maklumat lanjut tentang pakej PEMERKASA dan cara untuk mendapatkan bantuan, anda boleh semak di sini.
- Apa-apa bantuan tunai yang dimasukkan ke dalam akaun anda tidak akan dipotong untuk menyumbang kepada pembayaran balik hutang anda.
Apa kesan pengumuman ini terhadap wang anda?
Sebelum ini, golongan yang diisytiharkan muflis juga layak menerima bantuan tunai daripada kerajaan.Tapi memandangkan mereka tak boleh menggunakan akaun bank mereka yang sedia ada, mereka perlu pergi ke cawangan Bank Simpanan Nasional untuk mendapatkan bantuan tunai tersebut – Inilah cara warga Malaysia yang tidak mempunyai akaun bank biasanya menerima bantuan tunai.
Jadi, pengumuman baru di bawah PEMERKASA akan memudahkan golongan yang muflis untuk menerima bantuan daripada kerajaan.
Oleh sebab bantuan kerajaan itu tak akan digunakan untuk menyumbang kepada bayaran balik hutang anda, ini bermaksud anda akan ada memiliki lebih wang tunai dalam tangan. Sila baca panduan kami tentang perancangan dan belanjawan dan gunalah kalkulator belanjawan bulanan kami untuk membantu anda menguruskan wang anda.
Tapi ingat, jika anda berkemampuan, anda patut bayar balik hutang anda secepat mungkin supaya anda boleh segera keluar daripada status muflis. Baca panduan kami tentang cara menguruskan belanjawan dan gunalah kalkulator bayaran balik kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan supaya anda tahu berapa jumlah bayaran balik yang anda perlu buat setiap bulan.
Bagaimana untuk menghubungi JIM?
Jika anda telah menjadi muflis, anda perlu hubungi cawangan JIM di dalam negeri yang anda telah diisytiharkan muflis. Anda boleh cari cawangan JIM yang berdekatan dengan anda di sini.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh juga hubungi ibu pejabat JIM di 03-8885 1000.
Pautan berkaitan