Moratorium Pinjaman Telah Tamat, Tapi Anda Masih Boleh Dapatkan Bantuan Untuk Menguruskan Pinjaman Anda
Moratorium pinjaman telah tamat secara rasmi pada 30 Sept 2020, dan melainkan anda telah membuat perjanjian baharu dengan bank anda atau anda tergolong dalam kategori peminjam yang layak mendapat lanjutan sehingga 31 Dis 2020, anda perlu teruskan membayar balik pinjaman anda mulai bulan ini.
Tetapi,Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan pula kalau anda tidak membuat perjanjian baharu dengan bank anda tapi situasi kewangan anda berubah dalam bulan yang menjelang, seperti kalau anda kehilangan pendapatan atau gaji anda dipotong, anda masih boleh berunding dengan bank anda mengenai pilihan untuk membayar balik pinjaman anda.
Anda boleh menghubungi bank anda bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 untuk membincangkan bantuan pembayaran balik. Jika anda memenuhi syarat, bank anda boleh menawarkan beberapa pilihan untuk membantu pembayaran balik anda. Sebarang permohonan bantuan pembayaran juga tidak akan muncul dalam rekod CCRIS atau laporan kredit anda.
Jangan lupa, jika anda memerlukan nasihat lanjut atau ingin melihat pilihan lain untuk menguruskan pinjaman anda, anda boleh sahaja menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Anda juga boleh membaca panduan kami untuk Menguruskan Hutang atau melayari blogs kami untuk membaca topik lain tentang pengurusan kewangan.