Yang Mana Lebih Sesuai: Menyewa atau Membeli?
Semua orang memerlukan tempat untuk berteduh. Tinggal bersama keluarga mungkin pilihan yang paling menjimatkan. Namun apabila sampai masanya, anda mungkin perlu menetap di kediaman sendiri. Apabila memikirkan untuk mencari rumah sendiri, ada satu persoalan besar yang memerlukan pertimbangan anda: nak beli atau nak sewa? Berikut beberapa soalan yang anda perlu tanya diri anda sendiri untuk membantu anda membuat keputusan.
- Sejauh mana kemampuan anda?
Menyewa melibatkan kos pendahuluan yang jauh lebih rendah berbanding membeli rumah. Jadi, apabila mempertimbangkan sama ada nak beli atau sewa rumah, pertama sekali anda perlu lihat sama ada wang simpanan anda cukup untuk membayar kos pendahuluan.
Apabila membeli rumah, anda memerlukan wang untuk menampung kos pendahuluan seperti bayaran pendahuluan minimum sebanyak 10%, kos Perjanjian Jual Beli, fi undang-undang, duti setem dan sebagainya. (Gunakan kalkulator kos pendahuluan kami untuk kira berapa kos pendahuluan yang perlu anda bayar!) Selain daripada itu, anda perlu membuat bayaran balik bulanan untuk pinjaman perumahan yang anda ambil. Jadi, kalau anda ada simpanan yang cukup untuk menampung kos pendahuluan dan anda mampu membuat bayaran balik bulanan, anda sudah boleh membeli sebuah rumah. Tapi jika wang anda belum cukup untuk membayar kos pendahuluan pembelian rumah, jadikan ini satu matlamat simpanan anda. Anda boleh mula ketepikan wang setiap bulan untuk tujuan ini.
Kalau nak menyewa pula, selalunya anda perlu bayar deposit tiga bulan sewa serta deposit utiliti bersamaan dengan satu bulan sewa. Jadi, lazimnya wang sebanyak empat bulan sewa perlu disediakan sebagai deposit. Ini lebih rendah daripada kos pendahuluan membeli rumah, jadi kalau anda belum mampu, lebih baik anda menyewa dulu.
- Jangka panjang atau jangka pendek?
Apabila mempertimbangkan sama ada mahu mencari tempat tinggal untuk jangka masa panjang atau jangka masa pendek, fikirkan tentang situasi anda. Komitmen jangka panjang seperti membeli rumah mungkin sesuai kalau anda mahu berada lebih dekat dengan tempat kerja anda dan anda percaya anda akan bekerja di situ untuk tempoh yang lama, atau jika anda ada rancangan untuk berkahwin dan memulakan keluarga sendiri. Sebaliknya, jika anda selalu bergerak ke sana sini atas tuntutan pekerjaan anda, menyewa mungkin pilihan yang lebih sesuai buat masa ini.
Ada perbezaan yang ketara antara membeli dan menyewa rumah. Apabila anda membeli rumah, semua bayaran yang anda buat menyumbang kepada pemilikan satu hartanah oleh anda. Pemilikan hartanah memberi anda jaminan dan juga peluang untuk menambah kekayaan.Jadi, jika anda ingin membuat perancangan jangka panjang, membeli hartanah akan memberi anda lebih nilai, walaupun ia lebih membebankan dari segi kos pendahuluan berbanding dengan menyewa.
Sebaliknya, apabila menyewa untuk jangka masa panjang, anda perlu menjelaskan bayaran sewa setiap bulan tapi akhirnya anda tak memiliki apa-apa. Jadi, lebih baik anda membuat bayaran pinjaman perumahan untuk rumah sendiri.
Menyewa rumah lebih sesuai kalau rancangan anda berbentuk jangka pendek, contohnya anda bercadang untuk berpindah ke tempat lain tak lama lagi. Dalam kes begini, anda hanya perlu maklumkan kepada tuan rumah dan anda boleh tinggalkan rumah itu selepas tamat tempoh notis yang ditetapkan dalam perjanjian penyewaan.
Jika anda telah membeli sebuah rumah, anda perlu cari jalan untuk menjual rumah anda itu. Menjual hartanah boleh mangambil masa yang lama. Ini bermaksud wang yang telah anda belanjakan untuk membeli rumah itu tidak dapat dicairkan sehingga anda telah menjual rumah tersebut. Rumah itu boleh juga anda sewakan, tetapi anda perlu memastikan yang anda mendapat penyewa yang bertanggungjawab. Anda juga perlu menanggung kos tuan rumah yang lain seperti fi penyelenggaraan (jika tinggal di apartment), cukai pintu dan insurans.
Selain daripada itu, jika anda terlalu cepat menjual semula rumah itu selepas membelinya, nilainya mungkin hanya naik sedikit sahaja. Jadi, melalui penjualan tersebut, anda mungkin tak akan dapat semula kos pendahuluan dan faedah yang telah dibayar sebelum ini.
- Sejauh mana anda boleh memberi komitmen?
Apabila membeli sebuah rumah, anda akan menjadi pemiliknya. Jadi, anda boleh ubah suai atau hias semula rumah yang anda beli itu bila-bila masa yang anda suka. Tapi, pemilikan rumah juga bermakna anda perlu menanggung kos penyelenggaraan dan pembaikian, di samping fi tahunan dan cukai seperti cukai taksiran, cukai tanah dan insurans kebakaran.
Sebaliknya, kalau anda menyewa rumah, walaupun tuan rumah tidak membayar kos penyelenggaraan dan pembaikian, anda tak perlu bayar fi dan cukai seperti seorang pembeli rumah.
- Kestabilan atau Kefleksibelan?
Membeli rumah kediaman ialah satu pilihan yang membawa kestabilan kerana anda sentiasa ada tempat tinggal sendiri. Sementara itu, menyewa mungkin dilihat sebagai kurang stabil. Sebagai contoh, walaupun anda telah menandatangani perjanjian sewaan, jika pemilik mahu menjual rumah tersebut, menaikkan kadar sewa atau membawa masuk penyewa lagi, dia boleh berbuat demikian asalnya dia terus mematuhi perjanjian tersebut dan memaklumkan kepada anda lebih awal.
Tetapi, jika anda ingin mempunyai kefleksibelan untuk berpindah dalam jangka masa pendek, menyewa mungkin pilihan yang lebih sesuai. Anda hanya perlu habiskan tempoh menyewa, atau maklumkan kepada tuan rumah lebih awal sebelum berpindah keluar.
Sama ada menyewa atau membeli rumah lebih baik, jawapannya bergantung kepada kesesuaian mengikut situasi anda sendiri. Jadi, gunakan soalan-soalan di atas untuk membantu anda membuat keputusan sama ada anda patut menyewa atau membeli rumah!
Baca panduan kami untuk pelajari lebih lanjut tentang membeli rumah.