Patut Ke Anda Ambil Insurans Banjir untuk Kereta Anda?
Bila anda membeli kereta, anda diwajibkan untuk mengambil perlindungan insurans. Polisi insurans motor yang biasa selalunya akan menanggung kos membaiki kereta atau memberi gantirugi kepada anda sekiranya berlaku kemalangan, kecurian atau kebakaran.
Kita tahu bahawa beberapa buah negeri di Malaysia telah mengalami banjir yang agak teruk baru-baru ini. Anda mungkin tak sedar bahawa kebanyakan polisi insurans motor tak akan secara automatik menanggung kos pembaikian jika kereta anda mengalami kerosakan akibat bencana alam, seperti banjir!
Jadi, kalau anda ingin mendapatkan perlindungan untuk kereta anda dalam situasi bencana alam dalam negara, terutamanya jika anda tinggal di kawasan yang kerap mengalami banjir, anda perlu membayar premium tambahan.
Bagaimana perlindungan tambahan dapat membantu anda dari segi kewangan?
Apabila anda mengambil perlindungan tambahan untuk banjir, kenderaan anda akan dilindungi sekiranya berlaku banjir, pokok tumbang, atau angin taufan. Walaupun angin taufan tak selalu berlaku di Malaysia, anda tentu pernah dengar cerita tentang kereta yang rosak akibat banjir dan kejadian pokok tumbang yang menghempap kereta. Melainkan anda ada wang simpanan yang banyak untuk menangani kecemasan seperti ini, anda mungkin tak mampu menampung kos membaiki kereta anda atau paling teruk, anda mungkin tak ada lagi kenderaan untuk digunakan.
Kalau anda mengambil insurans banjir, polisi anda akan menanggung apa-apa kos membaiki kenderaan anda atau wang gantirugi akan diberikan kepada anda sekiranya kereta anda sudah tidak dapat dibaiki.
Tapi anda perlu ingat, polisi insurans selalunya mengandungi terma-terma khas yang perlu diikuti kalau anda mahu membuat tuntutan. Contohnya, kalau anda memandu dengan sengaja ke tempat yang sedang banjir atau anda meletakkan kereta anda di tempat selain daripada tempat letak kenderaan yang betul dan akibatnya kereta anda rosak disebabkan banjir, insurans anda tidak akan menanggung kos kerosakan sedemikian. Maksudnya, dalam situasi seperti itu, anda kena bayar sendiri kos membaiki kereta anda. Oleh itu, pastikan anda sentiasa letak kenderaan anda di tempat letak kenderaan yang sepatutnya dan bukan hanya di tepi jalan!
Berapa kos membeli insurans banjir untuk kenderaan anda?
Pada masa sekarang, harga untuk pertambahan perlindungan banjir ialah 0.2%-0.3% daripada nilai kenderaan anda diinsuranskan. Contohnya, kalau kenderaan anda diinsuranskan untuk RM50,000, perlindungan banjir akan berharga RM150 (pada 0.3%), sebagai tambahan kepada kos premium insurans kenderaan yang biasa. Jadi kalau anda biasanya membayar RM1,500, jumlah keseluruhan yang anda perlu bayar ialah RM1,650 bagi mendapatkan perlindungan tambahan untuk banjir.
Anda perlu faham, apabila anda membayar untuk mendapatkan perlindungan tambahan, ini tak mengubah nilai insurans untuk kenderaan anda. Ia hanya memperluaskan skop perlindungan untuk turut meliputi bencana alam seperti banjir. Jadi, nilai keseluruhan insurans kenderaan anda kekal pada RM50,000.
Patut ke anda ambil perlindungan tambahan untuk banjir?
Ramai orang tak ambil perlindungan tambahan untuk banjir kerana mereka rasa kawasan tempat tinggal dan sekelliling mereka jarang mengalami banjir. Tapi bencana alam selalunya tak dapat diduga dan dielakkan, seperti yang dialami baru-baru ini, jadi perlindungan tambahan boleh jadi sangat berguna untuk memastikan kenderaan anda sentiasa terlindung. Dengan adanya insurans banjir, kalau kereta anda tersangkut dalam banjir dan mengalami kerosakan, anda tak perlu keluarkan wang simpanan untuk menanggung kos membaiki kereta anda. Jadi, dengan adanya perlindungan tambahan, anda boleh mengelak daripada membayar kos membaiki kereta yang tinggi pada masa hadapan.
Apa perkara yang anda perlu peka?
Apa perkara yang anda perlu peka?Kebanyakan syarikat insurans akan mengenakan caj sebanyak 0.2%-0.3% daripada nilai keseluruhan insurans kereta anda. Jadi, pastikan anda membuat perbandingan untuk mendapatkan premium insurans yang sesuai dengan belanjawan anda dan yang dapat memberikan perlindungan yang terbaik.
Apabila anda membandingkan polisi insurans, pastikan anda campurkan kedua-dua kos tambahan dan kos premium biasa. Bandingkan dengan apa yang anda mampu bayar supaya anda tetap patuh pada belanjawan anda!
Pengambilan insurans dapat memberikan perlindungan kewangan jika sesuatu terjadi kepada anda atau harta-benda anda. Untuk belajar lebih lanjut tentang insurans, bacalah panduan kami dan kiriman blog di bawah:
Membeli insurans motor dan membuat tuntutan
Apa yang perlu dipertimbangkan apabila membeli insurans
*Harga untuk pertambahan perlindungan banjir adalah tepat sehingga tarikh blog diterbitkan