Merancang untuk Cuti-Cuti Malaysia
Sekarang ni kita berada dalam fasa PKPP dan kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, jadi memang ramai orang berebut-rebut nak pergi menikmati percutian pendek. Terujalah juga sebab boleh keluar rumah untuk tujuan lain selain daripada membeli barangan dapur di pasar raya!
Memandangkan sekatan yang ketat masih dikenakan untuk perjalanan ke luar negara, kita pergi bercuti ke destinasi tempatan saja dulu. Rakyat Malaysia memang bertuah sebab banyak tempat-tempat best yang boleh kita kunjungi di negara sendiri. Anda boleh pilih sama ada untuk menikmati pemandangan cahaya kota yang bergemerlapan di Kuala Lumpur, pemandangan laut yang indah di persisiran pantai, ataupun menjalani percutian kembara di hutan hujan tropika.
Bercanda di tepian pantai bersama pasir, laut dan matahari
Kalau anda inginkan percutian pantai, sebenarnya memang banyak pilihan yang ada. Antaranya tentulah pulau-pulau percutian yang popular seperti Langkawi, Penang, Pangkor dan Redang. Selain itu, ada juga pantai-pantai yang lebih terpencil dan kurang dikenali. Anda pernah dengar tentang Pulau Pom Pom di Sabah? Atau Pantai Tusan di Sarawak?
Kalau anda inginkan percutian pantai yang lebih aktif dan menyeronokkan, tapi tak tahu menyelam (atau mungkin belum ada duit untuk belajar!), apa kata anda cuba dulu aktiviti snorkelling. Destinasi percutian tepi laut memang banyak di Malaysia, anda cuma perlu ambil sedikit masa untuk selidik lokasi mana yang sesuai untuk aktiviti-aktiviti yang anda ingin lakukan.
Menerokai jalanan di Kota Raya
Kalau anda ada terfikir 'boring la holiday kat bandar je’, tanya diri sendiri, pernah ke anda betul-betul ambil tahu tentang aktiviti yang boleh dilakukan di bandar-bandar atau pekan-pekan di Malaysia ni? Tak kisahlah sama ada anda nak bercuti di Kuala Lumpur, Penang, Perak, Johor, Melaka, Sarawak, atau negeri lain di Malaysia, sebenarnya kita bertuah sebab dekat mana-mana pun mesti ada aktiviti menarik dan tak terlalu mahal yang kita boleh buat. Paling penting, makanan sedap pun senang didapati!
Percutian di bandar tak semestinya menipiskan poket anda. Anda boleh menginap di hotel backpacker, makan beraneka juadah yang lazat di gerai-gerai dan pergi bersiar-siar di jalanan. Warga Malaysia yang berkunjung ke muzium pula akan dapat menikmati diskaun – tahukah anda yuran masuk ke Muzium Negara hanya RM2 seorang? Kalau anda inginkan percutian yang lebih santai dan merehatkan, apa kata anda pergi bercuti ke pekan yang lebih kecil seperti Taiping atau Tanah Rata.
Bermesra dengan Alam Semulajadi
Sebagai sebuah negara tropika, kita berpeluang berada dekat dengan alam semulajadi yang indah dan menghijau. Taman Negara Gunung Mulu di Miri, Sarawak ialah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang memberi anda peluang untuk menjalankan aktiviti seperti menjelajah gua serta menikmati sekaligus keindahan kawasan gunung dan hutan hujan. Kalau anda cukup berani, anda boleh mencuba aktiviti rakit redah jeram (white water rafting) di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Aktiviti kembara juga boleh dilakukan di Taman Negara, Pahang iaitu salah sebuah hutan hujan tropika yang tertua di dunia.
Jadi…macam mana nak cukupkan duit untuk pergi jalan-jalan ni?
Perancangan yang rapi penting bukan sahaja untuk pastikan yang percutian anda seronok tetapi juga untuk mengelakkan berbelanja terlalu banyak! Berikut beberapa tip daripada Multiply untuk membantu anda merancang aktiviti cuti-cuti Malaysia: cuti-cuti Malaysia:
- Tetapkan belanjawan percutian – tambahkan 10% untuk perbelanjaan yang tak diduga. Gunakan pencontoh belanjawan atau kalkulator matlamat simpanan untuk membantu anda!
- Jangan sesekali ambil pinjaman untuk membiayai percutian anda! Pilih percutian yang bersesuaian dengan belanjawan anda, lakukan sebaliknya.
- Kenal pasti beberapa tempat yang anda ingin kunjungi untuk percutian anda dan dapatkan maklumat tentang kos perjalanan untuk sampai ke sana, kos tempat tinggal dan juga makanan (jangan lupa ambil kira perbelanjaan lain, contohnya membeli cenderamata!).
- Buat pilihan berdasarkan perkara yang paling menggembirakan anda dan yang tak melebihi belanjawan anda!
Kalau anda dah buat belanjawan yang rapi, anda tak akan rasa stres berbelanja semasa bercuti. Anda bersedia untuk menikmati percutian sepenuhnya dan tak perlu risau sama ada anda mampu menampung kos percutian tersebut ataupun tidak. Jadi, pergilah berseronok dan selamat bercuti!