Pajak Gadai: Apa Patut Anda Tahu?
PKP telah menyebabkan ramai orang mengalami krisis kewangan. Ada yang hilang pekerjaan dan ada pula yang dipotong gaji. Rata-rata, mereka yang terjejas menghadapi masalah kekurangan wang untuk menampung kehidupan. Membuat pinjaman mungkin satu pilihan yang boleh membantu kita bertahan. Tapi adakah kita patut mohon pinjaman bank, atau pergi ke kedai pajak gadai?
Jom kita pelajari lebih lanjut tentang pajak gadai, untuk menilai sama ada ia cara yang terbaik untuk mendapatkan pinjaman wang.
Apakah pajak gadai dan macam mana cara operasinya?
Aktiviti pajak gadai dikawal selia oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Pemegang pajak gadai melakukan dua perkara: Membeli barang berharga anda atau menawarkan pinjaman berasaskan cagaran. Pinjaman berasaskan cagaran bermaksud anda diberikan pinjaman wang yang ditukarkan dengan barang berharga yang anda miliki sebagai cagaran sekiranya anda tak dapat bayar balik pinjaman wang itu.
Berikut merupakan langkah-langkah untuk mendapatkan pinjaman berasaskan cagaran daripada kedai pajak gadai:
- Ambil barang berharga anda, seperti barang kemas, dan bawa ke kedai pajak gadai.
- Pemegang pajak gadai menilai barang anda.
- Pemegang pajak gadai menawarkan anda satu pinjaman (dengan faedah).
- Anda ambil pinjaman itu dan tinggalkan barang anda di kedai pajak gadai tersebut (Mereka akan berikan anda satu slip pajak gadai yang mengandungi butiran tentang barang anda, jumlah pinjaman dan butiran peribadi anda).
- Bayar pinjaman berserta faedah dan setelah itu anda boleh ambil balik barang berharga anda.
Apa yang boleh anda pajak gadai?
Kebanyakan kedai pajak gadai menerima emas. Tapi ada juga kedai pajak gadai yang menerima barangan lain seperti jam tangan mewah dan beg tangan mewah, telefon bimbit dan komputer riba. Anda disarankan membuat pertanyaan dulu dengan kedai pajak gadai tentang barangan apa yang mereka boleh terima.
Perkara untuk dipertimbangkan
- Hanya pergi ke kedai pajak gadai yang berlesen. Semua kedai pajak gadai dikehendaki mempamerkan lesen mereka. Lihat di sini untuk senarai kedai pajak gadai yang berlesen.
- Jumlah pinjaman maksimum yang boleh didapati daripada kedai pajak gadai ialah RM10,000 dengan kadar faedah rata maksima 2% sebulan atau 24% setahun. Jika ada kedai pajak gadai yang mengenakan faedah lebih tinggi, itu sudah menyalahi undang-undang..
- Selalunya, pinjaman diberi untuk tempoh sehingga 6 bulan. Anda boleh pilih untuk membuat bayaran balik secara bulanan atau apabila tempoh 6 bulan itu tamat.
- Kalau anda tak dapat bayar balik pinjaman anda dalam tempoh 6 bulan pertama, anda boleh dapatkan tempoh lanjutan. Tak ada tempoh lanjutan maksimum, tapi tempoh ini perlu dipersetujui antara anda dengan pemegang pajak gadai anda. Anda mungkin terpaksa bayar sedikit kos tambahan, seperti kos faedah yang anda berhutang atau fi pemprosesan.
- Kalau anda masih tak boleh langsaikan hutang selepas tempoh pinjaman anda tamat, barang yang anda cagarkan akan menjadi milik kedai pajak gadai itu.
- Untuk barang bernilai lebih daripada RM200, pemegang pajak gadai sepatutnya mengadakan acara lelong untuk menjual barang anda. Kalau wang yang diperoleh daripada jualan itu lebih daripada jumlah pinjaman anda, bakinya sepatutnya dipulangkan kepada anda.
- Pastikan anda terima slip pajak gadai, semak yang butirannya betul dan simpan di tempat yang selamat. Slip pajak gadai ini ialah bukti yang anda telah mencagarkan barang berharga anda, dan anda akan perlukan slip ini untuk mendapatkannya semula.
- Kalau anda lanjutkan tempoh pinjaman, pastikan lanjutan tempoh pinjaman itu direkodkan dalam buku pemegang pajak gadai tersebut dan juga di atas slip anda. Kalau anda terlupa untuk pastikan slip anda dan rekod pemegang pajak gadai sudah dikemaskinikan, lanjutan tempoh itu tidak sah dan anda akan dikira sudah terlepas tarikh luput pinjaman anda.
- Kedai pajak gadai akan meletakkan nilai barang anda lebih rendah daripada nilainya yang sebenar. Ini dilakukan untuk mengambil kira kos faedah yang kemungkinan anda tak akan bayar.
- Barang anda mungkin mengalami kerosakan apabila anda mengambilnya semula. Kami pernah dengar ada kes barang yang dipulangkan rosak, ataupun berat emas yang dipulangkan kurang daripada berat asal semasa ia diserahkan sebagai cagaran. Jadi jangan lupa periksa barang anda betul-betul!
Ada juga kedai pajak gadai yang patuh Syariah. Kedai-kedai ini berbeza daripada kedai-kedai pajak gadai biasa kerana:
- Tak ada faedah dikenakan, jadi anda hanya bayar jumlah yang anda pinjam
- Terdapat fi penjagaan yang dikenakan untuk menyimpan barang berharga anda. Dalam kes tertentu, apabila barang anda dipulangkan, mungkin terdapat sedikit kerosakan. Fi penjagaan ini adalah untuk memastikan tiada kerosakan yang berlaku kepada barang anda.
Perbandingan antara pajak gadai dengan pinjaman peribadi dan kad kredit
Sumber pinjaman | Pemegang Pajak Gadai | Kad Kredit | Pinjaman Peribadi |
Jumlah pinjaman (RM) | 5,000 | 5,000 | 5,000 |
Tempoh pinjaman | 1 tahun | 1 tahun | 1 tahun |
Kadar faedah setahun % | 24 | 18 | 10 |
Kadar faedah efektif % | 50.57* | 18 | 19.43* |
Memberi kesan kepada skor kredit anda | Tidak | Ya | Ya |
*Kadar berdasarkan kalkulator Kadar Faedah Efektif kami
Kelebihan dan kekurangan pajak gadai
Walaupun pajak gadai mengenakan kos faedah yang paling tinggi, terdapat beberapa kelebihan menggunakannya:
- Kalau anda tak dapat membayar balik pinjaman, paling teruk pun anda akan kehilangan barang berharga yang anda cagar. Tapi, untuk kad kredit dan pinjaman peribadi, penalti faedah akan terus bertambah.
- Kalau anda tak bayar balik pinjaman, skor kredit anda tak akan terjejas.
- Anda tak perlu buat bayaran bulanan dan boleh pilih untuk membuat bayaran balik pada hujung tempoh pinjaman.
- Anda tak perlu tunjukkan slip gaji atau dokumen lain yang selalunya diperlukan untuk memohon pinjaman peribadi dan kad kredit.
Sebelum anda teruskan niat untuk pajak gadai barang berharga anda, anda perlu sedar tentang kekurangan pajak gadai, iaitu:
- Kadar faedah untuk pajak gadai lebih dua kali ganda tingginya berbanding pinjaman peribadi, jadi ia adalah kaedah yang paling mahal untuk meminjam wang.
- Kalau anda gunakan pajak gadai sebagai cara untuk menampung gaya hidup anda, ini boleh menyebabkan anda menggadai semua barang berharga anda dan akhirnya tiada apa lagi yang tinggal.
- Kedai pajak gadai akan memberi pinjaman kepada anda tanpa mengambil kira keadaan kewangan anda. Kalau anda tak mampu membayar balik pinjaman, akhirnya anda akan kehilangan barang berharga anda.
Apa pilihan yang anda ada kalau perlukan wang tunai?
Kedai pajak gadai hanya patut dikunjungi jika anda terdesak untuk mendapatkan wang tunai tapi tak dapat nak ambil pinjaman kerana skor kredit anda tak elok. Anda masih ada pilihan lain, iaitu:
- Pertimbangkan menjual barang berharga anda supaya anda tidak perlu bayar apa-apa faedah.
- Gunakan kad kredit anda kalau anda menghadapi masalah kewangan jangka pendek dan anda pasti yang anda boleh bayar balik hutang kad kredit itu. Faedah yang dikenakan oleh kad kredit lebih rendah berbanding faedah pinjaman pajak gadai.
- Dapatkan pinjaman peribadi kalau anda menghadapi masalah kewangan jangka panjang dan anda tak pasti bila anda akan dapat mengatasi masalah itu.