Insurans Perubatan? Tapi itu majikan saya dah sediakan!
Dulu, bila sebut je pasal insurans, otak saya akan terus jadi tepu. Tak taulah kenapa. Ada ke orang lain yang macam tu juga? Saya rasa macam tak boleh nak hadam topik ni – saya muda lagi, saya ada kerja yang stabil dan majikan saya pun ada sediakan insurans perubatan. Lagipun, perkhidmatan kesihatan awam kan ada? Selalunya percuma je, kan?
Hmmm, kalau nak tahu, pengalaman perit telah mengajar saya tentang kepentingan mengambil insurans perubatan peribadi saya sendiri. Ini penting walaupun kita dah ada insurans yang ditanggung oleh majikan kita, dan walaupun mungkin kita dah biasa dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan kerajaan.
Ceritanya begini. Pada suatu hari lebih kurang dua bulan yang lalu, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya singgah di sebuah gerai burger untuk membeli burger kegemaran saya – yalah, lepas seharian penat bekerja, nak juga layan selera makan burger daging yang enak. Tapi malang tak berbau, kenikmatan makan burger daging yang tebal dan lazat tu tak berbaloi kerana saya telah mendapat keracunan makanan. Saya mula cirit-birit dan rasa nak muntah selepas beberapa jam.
Selama dua hari perut saya sakit dan saya asyik muntahkan apa yang saya makan. Ibu bapa saya terus bawa saya ke hospital swasta yang terdekat (sebab saya tak sanggup nak tunggu lama untuk berjumpa doktor di hospital kerajaan) dan akhirnya saya dipasangkan drip dan dimasukkan ke hospital. Aduhai nasib! Memang tak seronok kena masuk hospital! Doktor ada jalankan pelbagai ujian untuk mengesahkan diagnosis saya.
Menjelang hujung minggu, saya telah beransur pulih, tapi kos perubatan untuk rawatan yang diterima memang sangat tinggi. Alamak! Saya ingatkan bil hospital akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan tapi rupanya majikan saya hanya menanggung kos perubatan saya sehingga jumlah tertentu saja setiap tahun. Jadi, baki bil yang tinggal terpaksalah saya bayar daripada poket sendiri.
Waktu itulah saya sedar yang sudah tiba masanya untuk saya mengambil insurans perubatan.
Jom fahamkan dulu, apakah insurans perubatan?
Polisi insurans perubatan biasanya direka khas untuk menanggung kos rawatan perubatan kita, seperti bil hospital dan perkhidmatan kesihatan, kalau kita didiagnosis dengan penyakit tertentu atau perlu menerima rawatan jika berlaku kemalangan.
Mengapa ia penting:
Setelah kejadian keracunan makanan yang berlaku kat saya tu, saya sedar yang rawatan perubatan di hospital swasta memang mahal. Tak mustahil kita terpaksa menanggung hutang perubatan yang besar jumlahnya – ini confirm tak bagus untuk kesihatan! Lagi satu, walaupun sistem kesihatan awam dibiayai oleh kerajaan dan melibatkan kos yang lebih murah berbanding kesihatan swasta, ia bukanlah percuma sepenuhnya. Kita tetap kena buat bayaran deposit sebelum menjalani prosedur tertentu di hospital kerajaan.
Lagi satu yang saya nak pesan, kalau majikan anda ada memberikan manfaat insurans perubatan, semak polisi insurans tersebut untuk mengetahui terma-termanya, dan selidik juga tentang had perlindungan yang diberi oleh polisi insurans tersebut. Jangan lupa – polisi insurans tu akan melindungi anda hanya selagi anda menjadi pekerja majikan anda – kalau anda berhenti kerja, maka polisi tu pun hilang juga. Sementara anda belum dapat kerja baru, anda takkan ada perlindungan kalau jatuh sakit atau terjadi apa-apa yang tak diingini, kecuali kalau anda ada mengambil insurans perubatan peribadi.
Lebih baik dapatkan insurans perubatan sementara anda masih muda dan tak ada sebarang kondisi perubatan yang boleh menyebabkan kadar premium menjadi lebih tinggi. Selalunya kalau dah ada kerja sepenuh masa dan gaji bulanan, memang patutlah kita ambil insurans perubatan dan bayar premium bulanan ataupun tahunan, bergantung kepada pelan yang diambil.
Ada banyak jenis insurans perubatan di luar sana, jadi kita boleh minta ejen insurans atau broker untuk memilih pelan yang terbaik.
Macam mana nak pilih insurans perubatan yang paling sesuai untuk dibeli?
- Ketahui jenis insurans yang diperlukan – adakah anda mempunyai keluarga dan tanggungan? Atau anda masih single?
- Pilih pelan yang berada dalam lingkungan kemampuan anda.
- Setakat yang mampu, pilih pelan dengan had tahunan dan had sepanjang hayat yang paling tinggi.
- Lihat senarai hospital panel yang termasuk dalam senarai syarikat penyedia insurans anda – lagi senang nak proses tuntutan kalau anda dapatkan rawatan di hospital panel. Pastikan juga senarai hospital panel adalah komprehensif supaya anda ada banyak pilihan, termasuk pilihan hospital yang dekat dengan tempat tinggal anda.
- Baca dan fahamkan prosedur membuat tuntutan.
- Isi borang dengan betul dan tepat.
- Beli polisi insurans daripada ejen insurans atau broker yang berdaftar.
Anda harus peka tentang perkara berikut apabila memilih polisi insurans perubatan:
- Pengecualian – kondisi perubatan yang tak termasuk dalam perlindungan polisi anda.
- Had tuntutan – jumlah maksimum yang boleh dituntut.
- Pembaharuan polisi – terjamin atau tak tejamin, bergantung kepada sejarah perubatan anda dan jenis polisi yang diambil.
Jadi, ingat – ada banyak risiko yang kita hadapi dalam hidup ini (termasuklah makan burger yang tak elok!) tapi jangan ambil risiko tentang keperluan perubatan anda! Kalau nak tahu lebih lanjut tentang insurans perubatan, bacalah panduan kami, dan anda juga boleh dapatkan maklumat lanjut dengan membaca artikel apa yang perlu dipertimbangkan bila membeli insurans.
Tag:Insurans