Bagaimana Untuk Melangsaikan Hutang Anda Menggunakan Kaedah Bola Salji Hutang
Sejak beberapa PKP dikuatkuasakan di Malaysia bermula tahun lepas, Azman, seperti warga Malaysia yang lain, telah menghabiskan kebanyakan masanya di rumah. Jadi, selain daripada bekerja dari rumah untuk pekerjaannya sekarang, Azman telah mengambil keputusan untuk cuba menjana pendapatan sampingan dengan membuat dan menjual kek.
Selepas beberapa bulan menjual kek, Azman dapati dia sekarang sudah dapat menjana pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 sebulan. Dia mahu menggunakan wang tambahan itu untuk membuat lebih bayaran untuk ansuran bulanan pinjaman yang dia ambil, supaya hutangnya akan dapat dilangsaikan dengan lebih cepat.
Azman membuat sedikit kajian tentang kaedah bola salji hutang untuk menilai sama ada ini cara yang baik untuk dia menguruskan hutang-hutangnya.
Tapi apa sebenarnya kaedah bola salji hutang dan bagaimana ia berfungsi?
Apa itu kaedah bola salji hutang?
Kaedah bola salji hutang ialah satu cara untuk melangsaikan hutang anda dengan lebih cepat, iaitu dengan membayar amaun yang lebih untuk pinjaman anda satu demi satu, bermula dengan pinjaman yang mempunyai baki bayaran balik yang paling kecil.
Setelah pinjaman tersebut habis dibayar, anda akan teruskan lagi dengan membayar amaun yang lebih untuk pinjaman seterusnya yang mempunyai baki bayaran balik yang paling kecil, dan begitulah seterusnya sehingga anda sudah melangsaikan semua hutang anda.
Bergantung kepada berapa banyak wang lebihan yang anda ada dan berapa kerap anda membuat bayaran, anda mungkin akan dapat melangsaikan pinjaman anda dalam tempoh yang lebih singkat daripada tempoh pinjaman yang telah dipersetujui.
Idea di sebalik kaedah ini ialah apabila anda mula berusaha untuk melangsaikan hutang anda, anda akan bermotivasi untuk melangsaikan hutang-hutang anda yang lain juga.
Apabila satu demi satu hutang anda sudah habis dibayar, jumlah pinjaman yang tinggal juga berkurang. Jadi, anda akan ada lebihan wang untuk membuat bayaran balik dalam amaun yang besar bagi pinjaman anda yang masih ada.
Tapi ingat, sementara anda membuat bayaran dalam amaun yang lebih besar untuk pinjaman yang baki bayarannya paling kecil, pastikan anda terus membuat bayaran balik dalam sekurang-kurangnya jumlah yang minimum untuk semua pinjaman anda yang lain. Jika anda gagal melakukan ini, anda mungkin terpaksa membayar lebih faedah!
Bagaimana untuk menggunakan kaedah bola salji hutang?
Sekarang anda sudah tahu apa itu kaedah bola salji hutang, mari kita lihat bagaimana anda boleh gunakan kaedah ini untuk melangsaikan hutang-hutang anda:
- Pertama, senaraikan semua pinjaman anda dan jumlah bayaran balik untuk setiap pinjaman.
- Susun semua pinjaman dalam turutan, bermula daripada pinjaman dengan baki bayaran yang paling kecil sehinggalah pinjaman dengan baki bayaran yang paling besar.
- Setelah anda mengenal pasti pinjaman dengan baki bayaran balik yang paling kecil, cuba kira berapa banyak amaun lebihan yang anda mampu bayar sebagai tambahan kepada bayaran bulanan yang biasa dibuat untuk pinjaman tersebut. Bergantung kepada kemampuan anda, anda boleh membuat bayaran tambahan itu secara tetap atau bila-bila anda ada lebihan wang tunai.
- Sekarang, anda boleh mulakan dengan membuat bayaran tambahan untuk pinjaman anda yang bakinya paling kecil. Teruskan membayar amaun tambahan untuk pinjaman tersebut sehinggalah anda telah melangsaikan hutang itu sepenuhnya.
- Kemudian, anda boleh teruskan kaedah yang sama untuk pinjaman seterusnya dalam senarai anda.
- Ulang langkah 2-5 sehinggalah anda sudah langsaikan semua pinjaman anda!
Patutkah anda gunakan kaedah bola salji hutang untuk melangsaikan hutang-hutang anda?
Sebelum anda membuat keputusan sama ada anda patut gunakan kaedah bola salji hutang untuk melangsaikan hutang-hutang anda, berikut beberapa perkara yang anda perlu tahu:
Kelebihan | Kekurangan |
|
|
Jadi adakah kaedah bola salji hutang sesuai dengan anda?
Jika pinjaman kad kredit anda (yang selalunya akan mengenakan faedah yang tinggi ke atas baki belum bayar) juga merupakan hutang anda yang paling kecil jumlahnya, kaedah ini mungkin sesuai untuk anda.
Tetapi jika ia bukan hutang anda yang terkecil, dan anda tidak membuat bayaran penuh setiap bulan, akhirnya anda terpaksa membayar jumlah faedah yang lebih. Jadi dalam situasi ini, kaedah bola salji hutang mungkin tidak sesuai untuk anda.
Kami berikan satu contoh tentang situasi hutang yang dibincangkan:
Jenis Pinjaman | Baki Pinjaman | Kadar Faedah Setahun |
Kad Kredit | RM5,000.00 | 15% |
Pinjaman Peribadi | RM10,000.00 | 5% |
Pinjaman Kereta | RM15,000.00 | 4% |
Berdasarkan contoh di atas, memandangkan hutang kad kredit, yang juga mengenakan kadar faedah yang paling tinggi, ialah pinjaman dengan baki yang paling kecil, kaedah bola salji hutang mungkin sesuai untuk digunakan.
Sebelum membuat keputusan untuk menggunakan kaedah bola salji hutang, ingat 3 perkara berikut:
- Lihat sama ada anda mampu membuat pembayaran lebih – jika anda tidak mampu bayar lebih untuk pinjaman anda, kekalkan sahaja pembayaran bulanan seperti biasa.
- Pastikan pinjaman anda yang mengenakan kadar faedah yang lebih besar ke atas baki belum bayar, seperti kad kredit, mempunyai baki yang lebih kecil supaya anda boleh uruskan hutang yang itu dahulu.
- Anda masih perlu buat bayaran untuk pinjaman anda yang lain setiap bulan, jadi pastikan anda tidak gagal membuat mana-mana bayaran.
Jika anda ingin dapatkan maklumat lanjut tentang mana-mana pinjaman yang anda ada, seperti pinjaman peribadi atau kad kredit, sila baca salah satu daripada panduan kami.
Atau, jika anda ingin semak berapa jumlah bayaran balik untuk pinjaman peribadi anda, anda boleh gunakan Kalkulator Jumlah Bayaran Balik kami.
Pautan berkaitan: