Bagaimana Saya Menyelamatkan Diri Daripada Menjadi Muflis - Bahagian 1
Satu kisah benar tentang bagaimana seorang lelaki muda yang berasal dari Sarawak telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi telah terjerumus dalam kancah hutang dan sedang mencari jalan keluar.
19 Februari 2004. Satu tarikh yang membanggakan untuk keluarga saya. Itu tarikh yang tertera di atas tiket penerbangan saya, Aliff*, anak lelaki sulung dalam keluarga, yang akan meninggalkan Bintulu, Sarawak dan memulakan kehidupan baru mencari rezeki di Kuala Lumpur.
Ketika itu umur saya 26 tahun. Saya telah berjaya mendapat kerja sebagai Polis Bantuan di Kuala Lumpur, dan telah ditugaskan untuk bekerja di sebuah bangunan kerajaan yang penting. Mendapat pekerjaan di Semenanjung ialah satu peluang yang besar bagi saya – bukan saja untuk membina kehidupan yang lebih baik, tetapi juga supaya saya dapat mengirim wang kepada ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal. Dia membesarkan saya dan adik-beradik saya seorang diri.
Sebagai Polis Bantuan, saya termasuk dalam golongan penjawat awam. Saya berasa bangga dapat berkhidmat dengan kerajaan. Seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, saya percaya bekerja dengan kerajaan ialah satu perkara terhormat. Pada masa itu saya belum sedar bahawa ramai orang suka mengambil kesempatan terhadap penjawat awam seperti saya disebabkan oleh gaji tetap yang kami terima.
Sekarang sudah bulan Mei 2021 dan usia saya akan menjangkau 44 tahun. Dulu saya yakin berpindah ke Semenanjung akan mengubah hidup saya, tetapi saya tidak sangka yang kehidupan saya akan menjadi bertambah buruk.
*Nama sudah ditukar
Membiayai Kehidupan Baru
Saya mula bekerja sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya belum ada tempat tinggal yang tetap dan tiada kenderaan untuk bergerak. Jadi, saya perlu mencari rumah sewa dan membeli motosikal. Untuk sementara waktu, saya menyewa sebuah bilik untuk jangka masa pendek iaitu selama 2 minggu. Jadi saya ada tempoh dua minggu untuk mencari tempat tinggal yang sesuai.
Pada masa itu, saya tidak sedar bahawa perkara utama yang perlu disediakan apabila hendak menyewa bilik ialah wang deposit. Saya tidak tahu bahawa kita perlu membayar sekurang-kurangnya 2.5 bulan wang deposit sewa serta deposit utiliti.
Sedikit wang simpanan yang saya bawa dari Bintulu sudah hampir kehabisan. Tak mungkin saya boleh meminjam begitu banyak wang daripada ahli keluarga atau kawan-kawan saya untuk membayar deposit rumah.
Saya juga menghadapi masalah untuk membeli motosikal. Saya telah merancang untuk mengambil pinjaman yang saya akan bayar balik setiap bulan dengan menggunakan duit gaji saya. Tetapi pihak bank meminta saya menunjukkan slip gaji selama 3 bulan, yang saya belum ada. Jadi, permohonan pinjaman saya telah ditolak.
Pada hari ketiga saya bekerja, saya berbual dengan seorang rakan sekerja dan menceritakan masalah saya kepada dia. Kami cepat menjadi kawan kerana dia pun berasal dari Sarawak seperti saya. Katanya saya tak perlu bimbang.
Oleh sebab kami adalah penjawat awam, kami dijangkakan tidak akan kehilangan kerja, jadi kami boleh dapatkan pinjaman daripada koperasi kredit dengan mudah. Bayaran balik bulanan akan ditolak terus daripada gaji kami, jadi pihak koperasi ada jaminan bahawa bayaran balik akan dibuat setiap bulan, asalkan kami tetap bekerja.
Mengapa saya mula mengambil pinjaman
Sejurus selepas saya mula bekerja, saya telah mengambil pinjaman pertama daripada ko-operasi kredit berjumlah RM5,000. Tempoh pinjamannya 2 tahun, dan saya perlu membayar balik RM245 sebulan.
Ketika itu, saya tidak banyak pengetahuan tentang pinjaman dan hutang. Saya hanya fikirkan yang saya boleh mendapat wang sebanyak RM5,000, jadi saya boleh beli motosikal yang berharga RM2,500, bayar deposit rumah berjumlah RM1,000, dan masih ada lagi baki wang yang tinggal. Dengan gaji sebanyak RM1,300, saya anggap bayaran RM245 sebulan untuk pinjaman tersebut tak akan menjadi satu masalah.
Selama 3 tahun saya menyewa bilik yang sama dan menaiki motosikal yang sama. Gaji saya sudah mencecah RM1,700. Tapi saya tidak berhati-hati dalam perbelanjaan saya. Jadi, kadang-kadang saya tak ada wang yang cukup untuk membayar balik pinjaman saya pada hujung bulan. Saya juga telah mengambil pinjaman lain daripada kooperasi kredit untuk membayar kos membaiki motosikal dan menampung beberapa perbelanjaan lain.
Bagaimana hutang saya boleh bertambah
Di tempat saya bekerja, setiap hari pasti ada ejen bank yang datang untuk menawarkan pinjaman kepada saya dan rakan-rakan sekerja saya. Ceritanya selalu sama sahaja: jumlah pinjaman yang besar, senang dapat kelulusan, tak banyak dokumen diperlukan. Memandangkan kami penjawat awam yang bekerja dengan kerajaan, jadi semua orang fikir yang pekerjaan kami akan sentiasa terjamin.
Saya selalu menolak untuk membuat pinjaman kerana saya tiada keperluan untuk memakai duit. Tetapi sampai satu masa, ibu saya jatuh sakit dan memerlukan pembedahan jantung. Dia tiada insurans perubatan dan perlukan bantuan untuk membayar kos rawatannya sebanyak RM20,000. Jadi, akhirnya saya membuat keputusan untuk mengambil pinjaman daripada ejen bank yang selalu berlegar-legar di sekitar tempat kerja saya.
Pada mulanya, saya bercadang untuk mengambil pinjaman sebanyak RM30,000 untuk membayar kos pembedahan ibu saya dan menggunakan bakinya untuk membayar pinjaman koperasi saya yang sudah bertambah daripada RM5,000 kepada RM10,000. Dengan cara itu, saya akan ada hanya satu pinjaman untuk dibayar balik setiap bulan.
Tetapi apabila saya berbincang dengan salah seorang ejen bank, menurut agen tersebut saya terpaksa mengambil satu pinjaman yang berjumlah sekurang-kurangnya RM134,000 untuk membayar balik semua pinjaman sedia ada dan saya masih akan ada baki sebanyak RM25,000 dalam tangan.
Saya tidak tertanya-tanya mengapa saya akan menerima wang yang sedikit berbanding jumlah pinjaman yang saya ambil. Pada waktu itu, saya lebih khuatir tentang sama ada pinjaman saya akan diluluskan memandangkan gaji saya cuma RM1,700 ketika itu.
Jadi, apabila ejen bank menghubungi saya beberapa minggu kemudian untuk memaklumkan yang pinjaman saya telah diluluskan, saya hanya memikirkan bahawa saya akan mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos pembedahan ibu saya, perbelanjaan saya yang lain dan masih ada lagi baki yang boleh saya gunakan. Hanya di kemudian hari, apabila saya terpaksa membayar RM1,000 sebulan untuk pinjaman itu, saya sedar betapa susahnya untuk hidup dengan baki gaji RM700 sebulan.
Mengapa saya berhenti membuat bayaran balik pinjaman
Seminggu selepas saya mendapat pinjaman, saya mengambil cuti dan terbang balik ke Bintulu untuk membantu menjaga ibu saya. Saya berasa bangga kerana dapat membiayai kos pembedahannya.
Tetapi malangnya ibu saya tidak kembali sihat, sebaliknya kesihatannya terus merosot. Selepas menjalani pembedahan, ibu saya mengalami strok dan tidak boleh berjalan lagi. Saya terpaksa mengambil cuti dengan kerap, hinggalah cuti tahunan saya habis digunakan. Memandangkan saya terpaksa terus berada di Bintulu untuk menjaga ibu saya, bos saya menasihatkan saya bahawa mungkin jalan yang terbaik ialah berhenti kerja.
Apabila tiada pekerjaan, saya tidak lagi dapat membuat bayaran balik pinjaman. Dulu, apabila saya tidak mempunyai wang untuk membayar deposit sewa, membeli motosikal dan membiayai kos pembedahan ibu saya, saya ingatkan masalah saya ketika itu memang besar. Tetapi apabila saya berhenti membuat bayaran balik pinjaman, itu sebenarnya permulaan masalah saya yang sebenar….
Nak tahu apa yang jadi pada Aliff seterusnya? Jangan lupa ikuti bahagian 2 kisah Aliff pada 31 Mei 2021!
Apa yang anda perlu tahu kalau anda baru mula bekerja atau berpindah ke tempat baharu?
- Apabila anda mencari tempat tinggal untuk disewa, selalunya anda dikehendaki buat bayaran pendahuluan
Apabila anda mencari tempat tinggal untuk disewa, selalunya anda dikehendaki buat bayaran pendahuluan iaitu deposit sewa 2 bulan dan deposit utiliti setengah bulan. Jadi pastikan anda sudah ada wang simpanan yang mencukupi sebelum keluar dari rumah keluarga anda. Wang ini boleh anda gunakan apabila berhijrah ke tempat baru nanti. Jika anda belum berkemampuan, cuba duduk dengan kawan-kawan atau seseorang yang anda kenali untuk sementara waktu.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang menyewa vs membeli rumah, baca blog kami.
- Hanya ambil jumlah pinjaman yang anda mampu bayar balik
Satu langkah yang baik untuk menguruskan perbelanjaan ialah menyediakan belanjawan. Langkah ini dapat membantu anda mengetahui perbelanjaan bulanan anda. Dengan cara ini, anda boleh tahu berapa banyak wang yang anda mampu bayar setiap bulan untuk pinjaman yang anda ambil. Satu penanda yang baik ialah bayaran balik bulanan tidak sepatutnya melebihi 40% daripada pendapatan anda. Selain itu, anda juga patut buat perbandingan antara beberapa pinjaman bank yang ada untuk mengenal pasti bank mana yang mengenakan fi dan kadar faedah yang paling rendah.
- Jejak jumlah hutang anda
Jika anda terlalu banyak berhutang, anda akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman setiap bulan. Jika anda tidak melangsaikan hutang anda, faedah atas pinjaman anda akan terus bertambah dan ini bermaksud hutang anda juga akan terus bertambah. Contohnya, pinjaman sebanyak RM1,000 dengan kadar faedah baki berkurangan sebanyak 18% akan bertambah menjadi RM1,196 selepas satu tahun. Selepas 4 tahun, jumlah ini akan bertambah lagi menjadi RM2,043. Selain itu, jika anda lambat atau sudah berhenti membayar pinjaman, skor kredit anda akan jatuh, atau lebih parah lagi, anda boleh diisytiharkan muflis.
- Ambil polisi insurans
Anda tidak boleh merancang perbelanjaan perubatan. Jadi, lindungi keluarga anda dan diri sendiri dengan mengambil insurans perubatan yang dapat membantu menampung kos perubatan yang tak dijangkakan. Dengan adanya insurans, anda boleh elak daripada mengambil pinjaman untuk membayar bil perubatan. Untuk membantu golongan yang berada dalam kategori B40, kerajaan telah menyediakan skim insurans seperti Perlindungan Tenang dan MySalam. Klik di sini untuk semak sama ada anda layak menyertai skim-skim tersebut.
- Sasarkan untuk membina simpanan kecemasan.
Apabila sudah mula bekerja, antara langkah pertama yang anda patut ambil ialah menyimpan wang setiap bulan dalam tabung kecemasan. Mulakan sikit-sikit dulu, yang penting anda mesti menyimpan sejumlah wang setiap bulan. Simpanan tersebut akan menjadi sangat berguna untuk membantu anda menghadapi saat-saat kecemasan, contohnya jika anda kehilangan pekerjaan.