Bank Negara Potong Kadar OPR – Apa Kesannya?
Anda mungkin ada terbaca tentang langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memotong Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sehingga paras yang paling rendah setakat ini, iaitu 1.75%. Anda tau tak apa kesannya kepada anda?
Jawapan pendeknya begini: Pemotongan kadar OPR akan menurunkan kadar faedah bank, jadi jika anda ada membuat pinjaman bank dengan kadar faedah boleh ubah, jumlah bayaran balik yang anda perlu bayar kepada bank untuk pinjaman anda akan berkurangan. Pada masa yang sama, pendapatan yang diperoleh daripada simpanan dan deposit tetap anda di bank juga akan berkurangan.
Nak tau lebih lanjut? Teruskan membaca!
OPR ni apa sebenarnya?
OPR ialah kadar faedah yang dibayar oleh sebuah bank kepada sebuah bank yang lain apabila meminjam wang. Kenapa bank meminjam wang sesama mereka? Senang cerita, kadangkala ada bank yang kekurangan wang tunai setelah mereka memberi pinjaman wang kepada pelanggan seperti anda.
Bank juga menggunakan OPR bagi menetapkan Kadar Asas (BR), Kadar Pembiayaan Asas (BFR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang digunakan untuk membuat keputusan tentang berapa kadar faedah yang patut dikenakan untuk pinjaman yang anda ambil, seperti pinjaman rumah, dan berapa kadar faedah yang patut dibayar kepada anda untuk simpanan dan pelaburan yang anda buat.
Kenapa OPR penting?
BNM menggunakan OPR untuk memandu ekonomi negara, sama ada untuk memacu atau memperlahankannya. Sekarang ni, disebabkan oleh krisis COVID-19 dan perkembangan ekonomi dunia yang lain, ekonomi Malaysia semakin bergerak perlahan. Ekonomi yang merosot boleh mengakibatkan syarikat-syarikat mengurangkan pengambilan pekerja atau mengurangkan gaji pekerja.
Untuk mengelakkan atau meminimumkan kesan kemerosotan, ekonomi negara perlu dirangsang. Dengan pemotongan kadar OPR, bank akan menurunkan kadar BR/BFR/BLR. Jadi, OPR yang lebih rendah akan menyebabkan kadar faedah juga lebih rendah.
Kadar faedah pinjaman yang lebih rendah akan mengurangkan jumlah bayaran balik untuk pinjaman bank yang dibuat. Ini akan menggalakkan masyarakat mengambil pinjaman bank untuk berbelanja dan merancakkan semula ekonomi, seperti membeli atau mengubah suai rumah, atau membeli kereta. Kalau anda telah mengambil pinjaman bank bersifat kadar boleh ubah, penjimatan daripada bayaran balik yang berkurangan boleh digunakan untuk lebih banyak berbelanja, ini juga bagus untuk merangsang ekonomi kita sekarang.
Selain daripada pinjaman dan perbelanjaan, kadar faedah yang lebih rendah untuk simpanan wang di bank akan menggalakkan anda meletakkan wang anda di tempat lain yang boleh memberi pulangan yang lebih baik, contohnya melabur dalam saham atau hartanah.
agi perniagaan pula, kadar pinjaman bank yang lebih rendah boleh dimanfaatkan oleh para peniaga untuk membantu mengekalkan atau mengembangkan perniagaan mereka. Syarikat-syarikat akan didorong untuk melabur dan tidak membiarkan saja wang tunai mereka di dalam bank. Ini akan membantu melindungi ekonomi daripada kemerosotan, kerana jika perniagaan boleh bertahan, ini akan mengelakkan pekerja daripada mengalami pemotongan gaji atau hilang pekerjaan.
Anda pun akan nikmati kadar faedah yang lebih rendah untuk pinjaman bank anda!
Apabila OPR menjadi lebih rendah, semua bank akan memotong kadar faedah mereka bagi pinjaman sedia ada dan juga pinjaman baru..
Kadar faedah pinjaman yang lebih rendah bermaksud anda akan dikenakan caj yang lebih murah untuk mana-mana pinjaman kadar boleh ubah anda, seperti pinjaman rumah. Tapi, ia tak akan memberi kesan kepada pinjaman bersifat kadar tetap, seperti pinjaman kereta. Semak dengan bank anda sama ada perubahan pada kadar faedah akan memberi kesan kepada mana-mana pinjaman yang anda ambil. Anda boleh juga gunakan kalkulator kami untuk melihat bagaimana jumlah bayaran balik anda mungkin berubah.
Bagi wang simpanan dan deposit tetap anda di bank pula, pulangan yang anda dapat akan berkurangan
Jangan lupa, kadar faedah juga menentukan pendapatan yang anda perolehi daripada simpanan wang anda. Dengan mengurangkan kadar faedah, BNM sebenarnya ingin menggalakkan anda mengeluarkan wang anda daripada akaun bank dan deposit tetap anda. Dengan cara ini, anda akan terdorong untuk membelanjakan wang anda, dan ini akan membantu merangsang ekonomi negara.
Bank yang telah menurunkan kadar BR/BFR/BLR turut memotong kadar faedah untuk akaun simpanan dan deposit tetap. Semak juga dengan bank anda untuk melihat berapa pendapatan yang akan diperoleh daripada simpanan wang dan deposit tetap anda setelah kadar faedah dikurangkan.
Jangan over pula dalam berbelanja!
Walaupun kadar faedah yang rendah bertujuan untuk mengisi poket anda dengan wang lebihan bagi membantu merangsang perkembangan ekonomi, anda jangan pula terlebih seronok sampai nak pergi membuat pinjaman bank yang tak perlu, membelanjakan semua wang simpanan anda atau mengeluarkan pelaburan anda. Anda perlu kekal bijak dan berhemah dalam menguruskan wang anda. Jangan lupa pastikan yang anda mempunyai dana kecemasan yang mencukupi, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang yang mencabar.
Untuk mendapatkan pelbagai lagi idea tentang pengurusan kewangan anda, bacalah Panduan Merancang Belanjawan.