6 Tip Perbelanjaan Raya di Musim Covid-19
Krisis Covid-19 yang melanda dah jadikan dunia ni tunggang terbalik, dan antara perkara yang dirisaukan oleh rakyat Malaysia ialah sambutan Hari Raya yang akan tiba tak lama lagi. Selalunya Hari Raya akan diraikan bersama orang tersayang, dan aktiviti yang wajib dibuat menjelang Hari Raya termasuklah shopping raya, memasak juadah Raya, serta membuat (dan juga memakan!) kuih dan biskut Raya. Itu belum lagi cerita pasal kegilaan ribuan orang berpusu-pusu nak balik kampung tapi tahun ni cukup berbeza, semua orang tertanya-tanya macam mana kita nak sambut Hari Raya kali ni dengan cara yang selamat – nak kena berhari raya dengan video call menggunakan aplikasi Zoom atau WhatsApp saja ke?
Apa pun cara kita menyambut Hari Raya tahun ni, kita patut ada belanjawan untuk mengawal perbelanjaan. Ramai antara kita yang sedang berhadapan dengan risiko hilang pekerjaan atau pendapatan berkurang, jadi eloklah kita berjimat-cermat dalam perbelanjaan.
Berikut ialah 6 tip jimat belanja menjelang Hari Raya:
- Mesti ada belanjawan
Seperti juga perbelanjaan harian, amat penting untuk kita sediakan belanjawan untuk persiapan Raya dan belanjawan tu mesti dipatuhi ya! Tetapkan satu jumlah yang realistik untuk dibelanjakan bagi setiap kategori, seperti makanan dan pakaian baru.
- Senaraikan apa yang nak dibeli
Pastikan anda buat senarai barangan yang nak dibeli – dan seperti juga belanjawan anda, jangan beli apa yang tak disenaraikan. Kalau anda ternampak sesuatu yang tak ada dalam senarai, pertimbangkan semula sama ada perlu atau tidak untuk membelinya – kalau perlu, kenapa barang tersebut tak ada dalam senarai anda? Memang senang kita nak termakan dengan godaan - tahu-tahu je troli dah penuh dengan barang yang sebenarnya tak diperlukan pun, yang akan menyebabkan bajet kita lari. (Lihat poin 3)
- Bukan semua benda kena beli baru
Memang kita nak raikan hari yang istimewa, tapi tak semestinya semua benda kita nak kena beli yang baru. Contohnya perabut, pinggan mangkuk dan pakaian. Tak salah pun kalau kita pakai semula baju Raya dua tahun lepas. Kasut pun tak semestinya perlu ditukar, lagipun kasut tu nak ditanggalkan aje bila kita nak masuk ke rumah, kan?
- Jadi pembeli yang bijak
Lakukan perbandingan harga barang di beberapa buah kedai untuk pastikan anda membuat pembelian pada harga yang terbaik. Untuk elakkan penularan virus Covid-19, lebih baik bandingkan harga di laman web atas talian saja. Kita tetap boleh nikmati banyak diskaun Raya bila membeli-belah secara online, jadi carilah tawaran yang terhebat.
- Setakat yang boleh, gunakan tunai/kad debit sahaja
Pembayaran secara tunai atau dengan menggunakan kad debit akan memudahkan anda berbelanja mengikut belanjawan yang ditetapkan. Ia juga dapat memastikan anda tak akan dibebani dengan hutang kredit kad yang tinggi untuk dibayar selepas Raya. Kalau anda nak gunakan juga kad kredit, periksa sama ada kad kredit anda ada menawarkan apa-apa ganjaran seperti pulangan wang tunai (cash back) atas pembelian anda. Jangan lupa bayar penuh bil kad kredit anda untuk elakkan pengenaan kadar faedah yang tinggi.
- Bayar semua bil bulanan sebelum tiba Hari Raya
Bercakap tentang bayaran bil, pastikan anda jelaskan semua bil anda sebelum Hari Raya tiba supaya anda tak ada terlalu banyak hutang yang perlu dibayar setelah musim perayaan berakhir.
Kami harap 6 tip di atas dapat memberi manfaat kepada anda. Mungkin sambutan kita simple je tahun ni, tapi kita masih boleh berhari raya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.
Kami ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua, dan jangan lupa jaga keselamatan dan kesihatan diri anda!