5 Tip Penjimatan Wang Semasa COVID-19
Hmmm, tahun 2020 memang satu tahun yang pelik. Tengah seronok saya merancang percutian, tup-tup kita semua dah kena duduk senyap-senyap kat rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)!
Keadaan sekarang ni macam tak menentu dan seram sikit. Untuk golongan yang bertuah, mereka hanya terpaksa bekerja dari rumah dan tak perlu risau sebab gaji mereka akan tetap masuk pada hujung bulan. Tapi untuk ramai orang di luar sana, mereka amat terkesan kerana gaji mereka dipotong, mereka diarah mengambil cuti tanpa gaji, atau lebih teruk lagi, mereka dibuang kerja. Golongan yang masih ada pekerjaan pun rasa gusar kerana bimbang akan hilang pekerjaan.
Apa jua situasi yang anda alami, semua orang kena ada perancangan untuk menjalani kehidupan dalam dunia baru ni. Cuba tengok balik perbelanjaan anda dan cari jalan untuk menjimatkan wang.
Kami ada sediakan 5 tip tentang cara anda boleh menguruskan perbelanjaan supaya duit anda tak cepat habis:
- Buat belanjawan dan berhenti berbelanja untuk benda yang anda tak perlukan
Dalam keadaan yang tak menentu macam sekarang, sangat penting untuk kita buat belanjawan dan patuhi belanjawan tersebut. Dengan cara ini, anda boleh elakkan daripada membeli barang-barang yang anda tak perlukan. Duit yang dapat dijimatkan tu boleh dimasukkan ke dalam sebuah tabung kecemasan.
Buat senarai perbelanjaan bulanan anda dan cuba lihat apa yang anda boleh buang daripada senarai itu. Contohnya langganan media (cuba cari alternatif lain atau pilihan yang membolehkan anda berkongsi kos dgn kawan-kawan dan keluarga) atau beli barangan dapur daripada jenama pasaraya berbanding barang jenama premium yang lebih mahal.
- Rancang makanan anda secara mingguan
Dalam tempoh PKP ni, anda mungkin kurang berbelanja untuk perkara-perkara seperti percutian, makan luar bersama kawan-kawan, atau menonton wayang. Tapi, jumlah wang yang dibelanjakan untuk makanan dan barang dapur pulak bertambah. (Ada lagi ke sesiapa yang tiba-tiba menghidap sindrom tak berhenti makan macam saya? Rasanya rutin senaman saya sekarang ni cumalah berjalan dari sofa ke peti sejuk setiap 10 minit!)
Cuba rancang lebih awal apa makanan yang anda akan sediakan dan buat bajet untuk tempoh seminggu yang akan datang. Pastikan ada senarai dalam tangan apabila pergi membeli barang dapur – dan ikut senarai tu! Ini akan mengelakkan anda daripada membuat pembelian mengikut nafsu. Dan jauhkan diri anda daripada coklat mahal tu – cari coklat jenama biasa yang murah sikit ya!
- Minimumkan pembelian dalam talian
Dalam situasi sekarang ni, kita tak boleh pergi ke pusat membeli-belah atau berhibur di luar. Jadi, ada sesetengah daripada kita yang terjebak dengan membeli-belah secara dalam talian. Buat masa sekarang, inilah cara yang lebih selamat untuk elakkan terkena jangkitan virus COVID-19. Senang je kan nak tekan butang BELI tu. Lagipun, apalah salahnya nak hiburkan hati dekat rumah pada musim PKP ni. Emm, takkanlah anda perlukan 7 helai baju baru atau gincu baru sekarang ni? (Eh jangan mengada, mesyuarat melalui aplikasi Zoom lakukan alasan untuk melaram!) Gunakanlah pembelian secara online untuk membeli barang-barang yang penting saja!
- Cari tawaran diskaun terhebat!
Memandangkan kita sedang membincangkan topik perbelanjaan tambahan dan pembelian dalam talian, jangan lupa cari tawaran dan diskaun terbaik. Ada pasaraya yang menyediakan rak barangan diskaun, kadang-kadang ada barangan mahal yang dijual dekat situ dengan potongan harga sehingga 50%. Barang-barang tersebut selalunya belum hampir tarikh luputnya dan masih elok untuk 1-2 bulan lagi.
Program kesetiaan pelanggan juga satu cara yang baik untuk mengumpul poin yang boleh ditukarkan kepada diskaun supaya anda boleh menikmati penjimatan. Tambahan pula, sambil mengelakkan guna wang tunai untuk menghindari virus Covid-19 dari wang kertas dan duit syiling, anda juga boleh semak kalau ada diskaun dari penyedia e-wallet. Tapi, jangan terlebih seronok pulak sampai berbelanja tak ingat dunia ya!
- Cuba belajar kemahiran baru
Pada waktu PKP ni, makanan yang selama ni mudah untuk kita beli macam nasi lemak bungkus atau pisang goreng dah jadi susah nak dapat – kita mungkin terpaksa bayar kos tambahan sebanyak RM5 untuk memesannya secara penghantaran. Jadi apa kata anda belajar memasak makanan kegemaran anda? Banyak je resipi percuma yang anda boleh dapatkan dalam talian, ataupun tengok je tutorial dekat YouTube. Kita ada banyak masa dekat rumah kan, jadi apa salahnya kita cuba asah kemahiran yang berguna?
Harapnya anda boleh manfaatkan tip-tip di atas. Dalam usaha kita untuk berjimat-cermat, jangan lupa duduk di rumah, kurangkan pergerakan di luar rumah dan lindungi diri anda. Untuk maklumat lanjut tentang perancangan belanjawan, sila baca Panduan ini.