4 Cara Untuk Berjimat-Cermat Dalam Tempoh PKPP
Malaysia sedang melalui proses pemulihan daripada krisis Covid-19 secara perlahan-lahan, dan kita semua sedang belajar untuk menjalani kehidupan ‘normal baru’ di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Semasa negara kita berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat dulu, ada antara kita yang telah dapat mengurangkan perbelanjaan apabila hanya duduk di rumah sepanjang masa. Sekarang, kita dah boleh keluar semula dan ada juga anak-anak yang sudah kembali bersekolah. Jadi, jom kita lihat macam mana caranya untuk mengelakkan perbelanjaan kita daripada meningkat semula dengan banyak!
- Ikut belanjawan yang dibuat- Memang dah berkali-kali kami ulang dan kami akan terus cakap benda yang sama: rancang belanjawan anda dan jangan menyimpang daripadanya! Dengan cara ini, perbelanjaan anda dapat dikawal sebab anda boleh nampak berapa banyak duit yang masuk dan berapa banyak pula duit yang keluar. Anda boleh kenal pasti di mana anda boleh berjimat dan apa perbelanjaan yang betul-betul perlu, supaya wang simpanan anda boleh bertambah.
Tak tau kat mana nak mula? Muat turun pencontoh belanjawan kami yang boleh tolong anda mengira pendapatan dan perbelanjaan anda secara automatik!
- Bawa bekal dari rumah - Masa ‘lockdown’ dulu anda dah terbiasa masak sendiri untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam kan? Apa kata anda cuba teruskan tabiat macam tu? Memasak sendiri di rumah memang lebih sihat sebab kita tahu apa bahan yang kita masak dan cara penyediaannya, lagipun memang cara ni boleh menjimatkan belanja. Kalau anak-anak anda akan kembali bersekolah, eloklah mereka bawa makanan dari rumah untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.
Membawa bekal untuk makan tengah hari bunyi macam senang je tapi sebenarnya susah juga, sebab kita perlu ambil masa untuk menyediakannya. Tapi kalau anda beli bahan mentah sendiri dan masak untuk makan tengahari, anda mesti boleh jimat sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah perbelanjaan makan di luar. Kalau kita dapat jimat sebanyak RM100 sebulan, itu dah jadi RM1,200 setahun!
- Manfaatkan bantuan daripada kerajaan - Pihak kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah untuk membantu rakyat Malaysia meneruskan kehidupan di bawah fasa PKPP (Baca butirannya di sini). Antara bantuan yang paling bermanfaat dalam kehidupan kita sehari-hari ialah pas pengangkutan bulanan My30, yang membolehkan kita membuat perjalanan tanpa had di sekitar Lembah Klang dengan menaiki MRT, LRT, monorail, Bas Rapid Transit, Rapid KL dan bas perantara (feeder bus) MRT hanya untuk RM30 sebulan. Pas ini boleh didapati sehingga 31 Disember 2020.
Jadi, walaupun selalunya anda tak gunakan pengangkutan awam dan lebih biasa memandu sendiri, mungkin inilah masanya untuk anda cuba menaiki pengangkutan awam, terutamanya kalau anda tinggal dan bekerja berdekatan dengan stesen-stesen pengangkutan awam. Kalau biasanya anda akan habiskan RM30 seminggu untuk mengisi petrol kereta anda, sekarang duit RM30 tu boleh tahan selama sebulan kalau anda gunakan pas pengangkutan My30. Tapi jangan lupa amalkan penjarakan sosial dan jaga kebersihan apabila menaiki bas atau tren!
- Gunakan akaun simpanan anda untuk betul-betul menabung - Pengalaman menempuh PKP mengajar kita untuk sediakan payung sebelum hujan. Ramai antara kita yang gunakan akaun simpanan sekadar untuk menerima bayaran gaji dan mengeluarkan duit di mesin ATM. Sebenarnya, walaupun akaun simpanan tak memberi kadar faedah yang tinggi, anda boleh gunakannya sebagai titik permulaan untuk menyimpan wang.
Jadi, terutamanya kalau semua wang anda kini disimpan dalam akaun simpanan anda, berjimatlah sebanyak mungkin dalam waktu PKP ini dan hadkan perbelanjaan. Bila duit dah banyak terkumpul dalam akaun simpanan anda, anda bolehlah kembangkan lagi jumlahnya dengan memindahkannya ke tempat lain seperti simpanan tetap atau pelaburan.
Covid-19 kini menyingkap satu fasa kehidupan yang baru buat kita semua, jadi kita kenalah berbelanja dengan sikap ‘normal baru’ juga. Walaupun kita sedang menempuh satu krisis ekonomi dan kesihatan, kita tetap patut perbaiki cara kita uruskan kewangan kita. Kalau sebelum ni, anda tak berapa ambil pusing sangat tentang perancangan dan pengurusan kewangan anda, apa kata anda gunakan waktu PKPP ni untuk membuat perubahan yang ketara dari segi tu. Nanti bila dah habis PKPP ni, anda dah pun terbiasa menguruskan kewangan anda dengan cekap. Bagus, kan?
Untuk maklumat lanjut tentang cara menguruskan kewangan anda, bacalah Panduan kami kami tentang Merancang Belanjawan, Simpanan dan Pelaburan, Menguruskan Hutang, Insurans dan Persaraan.