4 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Pengeluaran Simpanan KWSP Untuk Melabur Dalam Unit Amanah
Anda tentu faham bahawa pelaburan sangat berguna untuk membantu memgembangkan simpanan jangka panjang anda bagi tujuan persaraan. Tetapi bagaimana kalau anda tak ada simpanan yang cukup untuk melabur?
Menerusi Skim Pelaburan Ahli (SPA) KWSP, anda boleh laburkan sebahagaian daripada simpanan KWSP anda dalam unit amanah. Jadi walaupun anda mungkin tak ada wang simpanan yang cukup, anda masih boleh pertimbangkan untuk membuat pelaburan menerusi SPA di bawah KWSP.
Tetapi memandangkan penyertaan dalam skim ini akan mengurangkan simpanan KWSP anda, anda perlu fikir masak-masak sebelum mengambil langkah ini.
Berikut 4 perkara yang perlu anda fikirkan sebelum mengeluarkan wang KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA.
1. Anda akan dapat pulangan yang lebih baik daripada KWSP atau unit amanah?
KWSP menjamin dividen minimum sebanyak 2.5% setahun. Dalam tempoh dari 2011 hingga 2020, KWSP telah dapat menjana pulangan tahunan sebanyak 6.1%, iaitu kadar yang lebih tinggi daripada pulangan tahunan yang dapat dijana oleh kebanyakan dana unit amanah untuk 10 tahun kebelakangan ini. Pulangan tahunan ialah pulangan yang dapat dijana untuk pelaburan tertentu setiap tahun untuk tempoh tahun yang tertentu dan ia termasuk faedah kompaun.
Dana unit amanah yang ditawarkan melalui SPA mempunyai tahap prestasi yang berbeza-beza berbanding dengan KWSP. Ada dana yang telah mencapai pulangan yang lebih tinggi, dan ada yang telah mencapai pulangan yang lebih rendah berbanding dengan KWSP.
Jadi, sebelum anda membuat keputusan sama ada untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP anda dan melaburkannya dalam unit amanah melalui SPA, anda patut kaji prestasi masa lampau dana unit amanah yang berkenaan. Cuba kaji sejarah pulangan mereka untuk tempoh 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun sebelum ini, untuk melihat sama ada ia sesuai dengan matlamat simpanan persaraan anda.Tapi ingat, prestasi masa lampau tidak menjanjikan pulangan pada masa hadapan!
2. Di mana wang anda akan dilaburkan?
Simpanan KWSP anda akan dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia, saham, pinjaman dan bon, instrumen pasaran wang, dan hartanah. KWSP membuat keputusan tentang bagaimana mereka akan melaburkan wang simpanan anda dalam pelbagai instrumen kewangan ini, jadi anda tak dapat memilih di mana wang anda akan dilaburkan.
Jika anda membuat keputusan untuk melabur dalam talian melalui SPA KWSP, anda boleh pilih antara mana-mana dana unit amanah yang telah disenaraipendekkan oleh KWSP berdasarkan prestasi 3 tahun mereka sebelum ini.Anda boleh semak prestasi mereka di sini.Jadi, anda ada sedikit pilihan tentang di mana wang anda akan dilaburkan.
3. Adakah ada kemungkinan anda akan kehilangan wang anda?
Simpanan KWSP anda dijamin oleh kerajaan persekutuan. Jadi jika anda simpan wang anda dalam KWSP, anda memang tak akan kehilangan jumlah wang yang anda simpan itu.
Tapi jika anda keluarkan wang simpanan KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah, tiada lagi jaminan perlindungan untuk wang anda. Kalau anda melabur dalam dana unit amanah yang prestasinya buruk, anda boleh kehilangan wang yang anda keluarkan dari KWSP untuk pelaburan itu. Jadi, mengeluarkan wang simpanan KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah sebenarnya lebih berisiko sikit berbanding dengan membiarkan sahaja wang anda dalam KWSP.
4. Apa fi yang anda perlu bayar?
Penting untuk anda tahu tentang fi yang perlu dibayar untuk membuat pelaburan, kerana fi akan memakan sebahagian daripada pulangan anda. Disebabkan ini, pelaburan anda akan mengambil masa yang lebih panjang untuk berkembang. Ini juga boleh memberi kesan kepada jumlah simpanan yang akan dapat dikumpul untuk persaraan anda.
Jika anda melabur melalui SPA KWSP, fi jualan yang perlu anda bayar adalah seperti berikut:
- Sifar hingga 0.5% jika anda melabur dalam talian melalui portal i-Akaun KWSP
- Sehingga 3% melalui ejen/kaunter FMI.
Anda juga mungkin perlu membayar fi lain seperti fi pengurusan tahunan, fi pindahan dan fi penebusan.
Fi untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA KWSP lebih rendah berbanding dengan melabur dalam unit amanah melalui ejen jualan atau bank. Tapi, jika anda menyimpan wang anda dalam KWSP, anda tidak perlu membayar apa-apa fi.
Jadi, selain daripada hilang jaminan perlindungan kerajaan apabila wang anda dikeluarkan daripada simpanan KWSP untuk melabur dalam unit amanah (seperti yang dibincangkan dalam poin ke-3), fi yang anda perlu bayar untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA juga akan mengganggu peluang anda untuk mengembangkan simpanan persaraan anda.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana fi boleh memberi kesan terhadap pulangan unit amanah anda, sila baca panduan kami tentang unit amanah.
Patut ke anda keluarkan simpanan KWSP anda untuk melabur melalui SPA?
Jika anda sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP anda dan melaburkannya dalam unit amanah melalui SPA, ingat perkara berikut:
- Dana unit amanah melalui SPA: Anda mungkin boleh menikmati pulangan yang lebih tinggi berbanding KWSP, tetapi pelaburan anda lebih berisiko dan anda juga perlu membayar fi tertentu. Namun, anda ada sedikit pilihan tentang di mana wang simpanan anda dilaburkan.
- Menyimpan dalam KWSP: Anda boleh jangkakan untuk mendapat pulangan yang stabil dan wang anda lebih selamat kerana ia dijamin oleh kerajaan. Anda tidak perlu membayar apa-apa fi. Cuma anda tidak boleh pilih di mana wang anda akan dilaburkan.
Sekarang anda sudah tahu apa yang perlu dipertimbangkan jika anda mahu mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk melabur dalam unit amanah. Jadi, anda boleh buat pilihan terbaik untuk mengembangkan wang anda bagi tujuan persaraan.
Apa yang anda boleh lakukan seterusnya?
Jika anda berminat untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA, anda boleh ikuti langkah-langkah di bawah:
- Pertama, semak jika anda layak.
- Pilih dana unit amanah yang anda mahu daripada senarai dana unit amanah yang terpilih di bawah SPA.
- Anda boleh melabur dalam talian melalui i-Akaun KWSP di sini. Anda juga boleh melabur melalui ejen jualan atau berurusan di kaunter syarikat yang menawarkan dana unit amanah yang menjadi pilihan anda. Untuk pelaburan melalui ejen jualan atau melalui kaunter, anda perlu isi Borang KWSP 9N (AHL).
Jika anda mahu dapatkan maklumat lanjut tentang pengeluaran wang simpanan KWSP anda untuk melabur dalam unit amanah melalui SPA, anda boleh buat pertanyaan secara dalam talian atau hubungi KWSP di 03-8922 6000.
Ingat, seperti semua jenis pelaburan lain, pelaburan dalam unit amanah memang sentiasa ada risiko! Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang pelaburan dalam unit amanah, baca panduan kami tentang unit amanah. Untuk lebih memahami manfaat menyimpan dalam KWSP, baca panduan kami tentang KWSP. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengeluaran wang simpanan KWSP, tontonlah video kami.